PENGUNDI dalam kumpulan berpendapatan rendah sudah muak dengan perubahan berulang kali dalam pentadbiran negara, berkata hanya kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat menyelesaikan masalah mereka.
Mereka mahu kerajaan baharu memastikan ekonomi negara bertambah baik, politik yang stabil dan paling penting, menjaga kebajikan rakyat.
Selain mahukan kerajaan yang stabil, mereka juga berkata penting untuk mempunyai penggubal undang-undang yang berkebolehan dan bersedia membantu dalam menjaga kebajikan mereka.
Malaysia menyaksikan tiga perdana menteri sejak pilihan raya umum lalu. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh selepas 22 bulan, dan digantikan dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan ahli Parlimen yang berpaling tadah.
Berikutan ketidaktentuan dalam sokongan, kerajaan PN menyaksikan pertukaran perdana menteri hanya selepas 17 bulan, kali ini diterajui Umno.
Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November.
The Malaysian Insight bercakap dengan beberapa pengundi B40 mengenai pandangan mereka terhadap PRU15.

* Jerry Alfred Ringkai, 34, penduduk rumah panjang, Betong, Sarawak.
Jerry yang merupakan seorang penjawat awam berkata apa yang paling diperlukan negara ketika ini ialah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk menghentikan segala ketidakstabilan sejak empat tahun lalu.
“Saya sangat teruk ketika PH memerintah. Keadaan menjadi lebih baik sedikit apabila PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kuasa.
“Kehadiran GPS (Gabungan Parti Sarawak) dalam kerajaan pasca PH membuat perubahan. Kerajaan negeri GPS menyediakan sebahagian besar bantuan kebajikan terutamanya semasa pandemik.”
Beliau berkata tiga kerajaan berubah sejak PRU14 dan percaya PRU15 akan membawa perubahan.
“Saya meramalkan kerajaan gabungan BN dan GPS akan berkuasa. Mereka akan mendapat undi majoriti kali ini.
“Saya berharap pertukaran kerajaan dan perdana menteri yang berterusan tidak akan berulang.”
Jerry berharap kerajaan persekutuan baharu akan dapat meningkatkan lagi kebajikan rakyat dan ekonomi negara.
* Singgah Mani, 54, penghuni rumah panjang, Lubok Antu, Sarawak.
Singgah, seorang petani mengharapkan kerajaan lebih baik dan perdana menteri yang baik serta berkebolehan untuk memimpin negara.
“Kami hanya mahu bantuan kebajikan dikekalkan atau ditambah baik kerana ada perkara yang kami tidak dapat dari tanah ladang kami.”
Katanya, PRU15 sepatutnya menamatkan kemelut politik dan kerakusan kuasa.
“Saya mahu melihat ekonomi negara bertambah baik agar lebih banyak wang boleh diperuntukkan untuk membangunkan kawasan luar bandar Sarawak … seperti di tempat saya sekarang.
“Saya berharap kerajaan persekutuan akan melakukan yang lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup semua rakyat di negara ini, tidak kira di mana mereka berada.
“Di kawasan luar bandar atau bandar, kerajaan harus memastikan pembangunan yang adil dan saksama untuk semua.”
* S Sitra Devve, 57, Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Penjual nasi lemak Sitra berkata terdapat banyak isu di kawasannya yang masih belum diselesaikan.
Beliau berkata apa yang diingininya adalah wakil rakyat yang boleh dipercayai untuk kawasannya.
“Setakat ini masih banyak isu di sini yang belum diselesaikan mengikut kehendak rakyat.
“Seperti di Kampung Pandan, banyak keputusan memihak kepada pemaju dan parti politik yang bertindak sebagai orang tengah juga sering memihak kepada pihak berkepentingan dan bukannya rakyat.”
Sitra berkata bekas ahli Parlimen mereka Rina Harun tidak pernah turun padang sejak menang dan kini bertanding di Sepang.
“Kami hanya mahu wakil rakyat yang boleh menyuarakan masalah kami di Dewan Rakyat.”
* Parthiban Krishnan, 32, Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Partiban yang bekerja sebagai penolong pejabat kecewa dengan bekas wakil rakyatnya (Rina).
“Kami penduduk Desa Pandan kecewa dengan bekas wakil rakyat kami.
“Banyak aduan dibuat seperti jalan tidak diturap dengan sempurna dan pengurusan kesesakan lalu lintas berhampiran sekolah di sini teruk, namun tiada tindakan diambil.
“Kami juga meminta pembinaan perpustakaan di kawasan ini tetapi keluhan tidak diendahkan. Kali terakhir flat kami dicat pada 2018 ketika Johari (Johari Abdul Ghani) masih menjadi ahli Parlimen.”
Beliau berkata apa yang dimahukan penduduk daripada wakil rakyat dan kerajaan baharu ialah talian hotline.
“Talian itu adalah untuk rakyat, supaya mereka mudah menyalurkan aduan atau masalah kepada wakil rakyat mereka.”

* N Puven, 39, Taman Desa, Kuala Lumpur.
Puven, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berkata mahu melihat kerajaan yang stabil dengan menteri berpendidikan dan bijak serta tahu cara mengendalikan negara.
“Saya tidak mahu melihat ahli politik ‘separuh masak’. Kami mahu melihat orang yang berpendidikan.”
Katanya, keadaannya tidak bertambah baik sejak 2018 kerana kerajaan sudah tiga kali bertukar.
“Sejak 2018, mereka (parti) berebut jawatan dan bukannya rakyat.
“Saya berharap selepas pilihan raya ini akan wujud kerajaan lebih baik dan ekonomi yang stabil.
“Kami juga mahu semua kaum dijaga oleh kerajaan.”
* Ahmad Muzammil Borhan, 34, Johor Bahru.
Ahmad seorang jurujual berkata mahu kerajaan baharu memilih menteri yang berkaliber dan berwibawa, bukannya kerana kekananan.
“Langkah ini boleh membawa kepada kestabilan dalam politik dan ekonomi negara. Bukan fokus kepada agenda peribadi tetapi kepada kebajikan rakyat.”
Beliau berkata tumpuan mesti diberikan kepada negara dan tidak semestinya menteri daripada generasi lama.
“Kabinet mesti ada muka baharu, idea baharu. Kita tidak mahu melihat muka lama. Kita mahu orang muda mentadbir negara.”
* Nazariah Taib, 60, Johor Bahru.
Nazariah, seorang pesara, berkata rakyat tidak mahu tertipu oleh kerajaan dengan janji kosong dan palsu mereka.
“Kita mahu kerajaan yang memahami kehendak rakyat, jangan hanya beri harapan palsu.
“Rakyat juga mahukan gaji dan kehidupan yang baik. Tidak adil meminta sokongan kami dan kemudian tidak membetulkan keadaan (ekonomi).
“Jadilah kerajaan yang lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu. Kami mengundi untuk ekonomi dan kestabilan politik yang lebih baik.”
Beliau berkata kerajaan perlu sentiasa melihat penyediaan bantuan kepada rakyat, menjaga keperluan mereka dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir.

* Norma Halim, 40, Kuala Nerus, Terengganu.
Norma yang merupakan pekerja am berkata mahu kerajaan menangani segera isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang.
“Sebagai B40, saya amat terkesan dengan harga barangan yang terlalu mahal. Jika saya membelanjakan RM50 untuk barangan dapur, saya hanya boleh mendapat sedikit sahaja barang.
“Keluarga saya besar, dengan 11 orang ahli keluarga memerlukan kami mencatunya.”
Katanya, bukan mudah menjaga enam anak yang masih bersekolah walaupun mendapat bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM600.
“Saya juga layak menerima bantuan kerajaan RM3,000 setiap tahun kerana hanya saya seorang yang bekerja kerana suami sakit.
“Tanpa bantuan ini kami akan menderita.” – 8 November, 2022.
Komen