IDEOLOGI politik yang kuat ada masanya menyebabkan penduduk di flat Pantai Permai bermusuh sesama mereka.
Ada yang mahukan perubahan dengan meyokong Pakatan Harapan (PH), manakala yang lain terus setia dengan kerajaan sekarang yang dipimpin Umno/Barisan Nasional (BN).
“Untuk elakkan masalah, kami tak bercakap mengenai pandangan politik atau siapa yang kami sokong. Bukan saja akan datangkan masalah tapi kadang-kadang siapa yang sokong pembangkang akan dapat ancaman,” kata Anis Salehuddin, 43, peniaga kecil-kecilan yang menyokong PKR.
Anis pernah tinggal di Kondo Rakyat, pangsapuri kos rendah di Pantai Dalam dan kemudian berpindah ke lokasi lain di Kuala Lumpur lepas berkahwin semula.
Bagaimanapun, Anis masih menjadi pengundi berdaftar di Pantai Dalam.
Kenyataannya disokong oleh jiran lamanya, Hashim Manaf, 65, seorang pesara.
Hashim ialah seorang penyokong kuat PKR dan telah mengundi parti itu sejak 2003.
Kata Hashim, sebahagian jirannya hanya setia kepada kerajaan disebabkan bantuan yang diberikan.
“Mereka takut nak berubah. Bagi mereka, kalau kita tukar kerajaan, tak dapat lagi bantuan. Mereka rasa terhutang budi,” kata Hashim.
“Silap tu. Dah memang tanggungajwab kerajaan untuk bantu rakyat.”
Hashim cuba bercakap dengan mereka mengenai kos sara yang semakin meningkat dan bagaimana keadaan tidak berubah di bawah kerajaan sekarang.
“Kita kena berubah. Mesti ubah dalam pilihan raya umum ini. Itulah yang saya selalu beritahu mereka,” kata Hashim.
Bagi Intan Suhana Mohd Sidek, 40, pengundi di Lembah Pantai sepatutnya memilih Umno.
“Saya tak tahu pasal politik. Tapi saya dah lapan tahun duduk sini. Tak ada apa yang berubah.
“Saya pilih undi kerajaan. Sekurang-kurangnya mereka ada duit dan mampu buat sesuatu di kawasan ini,” katanya.
Parlimen Pantai Dalam dimenangi oleh PKR pada 2008 dan 2013 menerusi Naib Presiden Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah menewaskan Shahrizat Abdul Jalil pada 2008 dengan majoriti 15,288 undi dan mengalahkan Raja Nong Chik (BN) serta calon bebas, Rusli Baba pada 2013 dengan majoriti hanya 1,847 undi.
PKR menang besar di Bangsar dan Sentosa tetapi kalah di kawasan dominan Melayu seperti di Pantai Permai yang majoriti penduduknya tinggal di flat.
Ketua Pemuda PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata 65% undi di kawasan flat itu jatuh ke tangan BN, namun PH berharap Bersatu dan Amanah dapat membantu mereka menamatkan pengaruh BN.
“Kehadiran Bersatu telah membantu kami menjangkau mereka yang mesra Umno, dan PAS menerusi Amanah,” kata Fahmi.
“Mereka telah buka beberapa pintu untuk kami.”

Fahmi berkata sukar untuk membuatkan penduduk flat beralih dari mengundi BN tetapi beberapa usaha sedang dilakukan supaya mereka dapat melihat apa yang boleh pembangkang tawarkan.
Perbalahan di peringkat Umno bahagian kata Fahmi boleh meningkatkan peluang PKR untuk menang.
Kemunculan semula Raja Nong Chik
Terdapat desas-desus mengatakan Raja Nong Chik akan bertanding bagi mencabar Nurul Izzah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun tewas pada PRU13.
Biarpun kuat menyokong PKR, Hashim berkata Raja Nong Chik yang merupakan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai adalah seorang pemimpin yang baik.
Masalah Umno kata Hashim ialah berpunca dari pemimpin akar umbi yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka.
“Raja Nong Chik ni bagus. Walaupun kalah dalam pilihan raya umum lepas, dia masih turun padang. Tapi orang-orang dia gagal edar bantuan,” katanya.
Menurut Hashim kedua-dua Raja Nong Chik dan Nurul Izzah aktif tetapi lawatan dan program Naib Presiden PKR itu dibuat tanpa perhatian media.
“Jadi orang ingat dia tak buat kerja,” kata Hashim.

“Seorang lagi penduduk flat, Hisham Aszhairil, 31, berkata Raja Nong Chik yang paling sering dilihat dalam program kerajaan.
“Kalau Dewan Bandaraya (DBKL) buat program dekat sini, mereka akan jemput Nong Chik dan Nurul Izzah,” kata Hisham.
Hisham juga bersetuju Raja Nong Chik adalah orang yang baik.
“Kalau awak jemput dia ke majlis kahwin, dia akan datang. Dia lawat orang yang sakit, terutamanya dari Kampung Pasir,” katanya.
Sementara itu, Hisham mengetahui pembangkang aktif mengadakan kegiatan mereka sendiri dan terlibat dengan rakyat.
“Macam sesi pisang goreng dan lawatan di Pasar Tani hari ini,“kata Hisham.
PH dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah hari ini mengadakan lawatan di Pasar Tani Pantai Permai dan meluangkan masa kira-kira dua jam dengan bertemu orang ramai dan mengedar risalah.
Hisham berkata Malaysia sepatutnya memberi peluang kepada pembangkang untuk memerintah negara. – 4 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan