PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) ini mencatatkan banyak rekod, daripada jumlah calon paling banyak bertanding iaitu 945 orang termasuk 108 daripadanya calon bebas sampailah kepada jumlah parti yang bertanding sebanyak 39 buah.
Juga pertama kali, hanya tiga negeri yang mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum iaitu Pahang, Perlis, dan Perak.
Negeri lain – tiga bawah Pakatan Harapan (PH) dan tiga bawah PAS yang juga komponen Perikatan Nasional (PN) – hanya akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing tahun depan, dijangka selepas Mac.
Pilihan raya umum kali ini juga mencatatkan rekod pertembungan banyak penjuru hampir di kesemua 222 kerusi persekutuan, kecuali sembilan yang akan ditandingi satu lawan – semuanya di Sabah dan Sarawak.
Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi medan pertempuran terhangat pada PRU15 apabila 10 calon menawarkan diri bertanding bagi merebut kerusi Parlimen tersebut.
Kawasan Parlimen itu turut menyaksikan empat calon bertanding atas tiket Bebas, termasuk bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua, yang menyokong penyandang P Prabakaran ketika PRU14, pada 2018 lalu.
Prabakaran bertanding mempertahankan kerusinya atas tiket PH pada PRU15 kali ini, dan berhadapan A Kohilan Pillay daripada Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya yang mewakili PN, dan Wan Azliana Wan Adnan yang mewakili Pejuang.
Calon lain termasuklah Naganathan Pillai yang mewakili Warisan dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah, yang merupakan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Selain Tian Chua, turut menawarkan diri sebagai calon Bebas adalah peguam Siti Kassim, pempengaruh, Nur Fathiah Syazwan Shaharudin, atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, dan Too Cheng Huat.
Parlimen Ampang juga tidak ketinggalan menyaksikan pertembungan banyak penjuru pabila seramai sembilan calon cuba menawan kawasan disandang Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Zuraida Kamaruddin sejak 2008 itu.
BN menurunkan calon MCA, Ivone Low Yi Wen manakala PH pula mencalonkan Rodziah Ismail, PN pula meletakkan Sasha Lyna Abdul Latif dan Nurul Ashikin Mabahwi pula mewakili Pejuang, serta Lai Wai Chong mewakili Warisan.
Ampang menyaksikan tiga calon Bebas, juga mencuba nasib iaitu Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, M Raveendran, dan Tan Hua Meng.
Kawasan Parlimen Sepang yang menyaksikan Ketua Wanita PN Rina Harun bertanding menarik perhatian apabila menyaksikan beliau bakal berhadapan tujuh lagi pencabar.
Rina berhadapan Ketua Wanita PH, Raj Muni Aiman Athirah dan Che Asmah Ibrahim yang mewakili Pejuang, serta Anuar Basiran mewakili BN.
Tiga lagi calon ialah Mohd Daud Leong daripada Parti Utama Rakyat, Mohd Syahrul Amri Mat Sari daripada parti Bahtera Sejahtera, dan M Muneswaran Muthiah.
Parlimen Sepang sebelum ini disandang Amanah, Hanipa Maidin yang tidak bertanding kali ini.
Antara kerusi yang merekodkan pertembungan lapan penjuru termasuklah Bangi dan Kota Raja. Presiden Amanah Mohamad Sabu bertanding mempertahankan kerusi Kota Raja yang disandangnya.
Pertandingan tujuh penjuru pula dapat dilihat di lima kerusi Parlimen, antaranya Sungai Siput, Kapar, Klang, dan Alor Setar, termasuk, Sungai Buloh, yang turut ditandingi bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang berpindah dari Parlimen Jelebu.
Sebanyak 24 kawasan Parlimen menyaksikan pertembungan enam penjuru, dan 43 kawasan Parlimen pula menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Sebanyak 82 kawasan Parlimen pula menyaksikan dominasi pertembungan empat penjuru, di samping sejumlah 54 kawasan Parlimen pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Tiada pertandingan satu lawan satu dilihat di kawasan semenanjung, sebaliknya ia hanya berlaku di Sabah dan Sarawak.
Sembilan kawasan menyaksikan pertembungan satu lawan satu meliputi Parlimen Kinabatangan, Kota Samarahan, Batang Sadong, Tanjong Manis, Igan, Sarikei, Mukah, Hulu Rajang dan Limbang.
Sebagai perbandingan, pada PRU14, majoriti kawasan Parlimen waktu itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Ketika itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 143 kawasan daripada 222 kawasan Parlimen berlaku pertembungan tiga penjuru.
SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi untuk PRU15. – 6 November, 2022.
Komen