Ahli Umno tanding atas tiket lain tergugur secara automatik, kata Ahmad Maslan


KEANGGOTAAN ahli Umno yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tergugur secara automatik mengikut Fasal 20.11 Perlembagaan Umno, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitternya hari ini, beliau memaklumkan berdasarkan fasal tersebut, Umno akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat dengan aktiviti menyokong parti lawan sepanjang kempen PRU15 berlangsung selain berdepan tindakan pemecatan keahlian serta-merta.

Ahmad berkata Umno telah meneliti senarai calon yang mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.

“Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat ahli Umno yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan. Sehubungan itu, keahlian mereka dalam Umno dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan Umno,” katanya.

Berdasarkan Fasal 20.11 Perlembagaan Umno, seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya.

Sementara itu dalam ciapannya, Ahmad berkata perkara itu perlu diambil tindakan demi disiplin, kesetiaan dan keharmonian parti.

Pada penamaan calon PRU kali ini, penyandang kerusi Parlimen Arau Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib, yang kedua-duanya merupakan pemimpin Umno bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Perikatan Nasional.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Umno, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin turut bertanding mempertahankan kerusi berkenaan serta merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. – Bernama, 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen