IRAN akhirnya mengaku pada Sabtu ia telah mengirim dron ke Rusia, menegaskan ia dibekalkan sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
“Kami membekalkan Rusia dengan bilangan dron terhad beberapa bulan sebelum perang di Ukraine,” kata Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.
Ukraine dan sekutu Baratnya menuduh Rusia menggunakan dron buatan Iran dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk melakukan serangan di Ukraine.
Iran telah berulang kali menafikan bahawa ia telah membekalkan senjata kepada Rusia untuk digunakan dalam perang Ukraine.
“Dalam perbualan telefon dengan menteri luar Ukraine minggu lalu, kami bersetuju jika terdapat bukti (menggunakan dron Iran oleh Moscow), beliau akan berikan kepada kami,” kata Amir-Abdollahian.
“Jika pihak Ukraine mengotakan janjinya, kita boleh bincang isu ini dalam beberapa hari akan datang dan kita akan ambil kira bukti mereka,” tambahnya.
Menteri Luar Iran sekali lagi menafikan negaranya telah membekalkan peluru berpandu ke Rusia, dengan menyebut tuduhan itu “sangat palsu”.
The Washington Post melaporkan pada 16 Oktober yang Iran sedang bersiap sedia menghantar peluru berpandu ke Rusia.
Kyiv berkata kira-kira 400 dron Iran telah digunakan terhadap penduduk awam Ukraine, dan Moscow telah menempah sekitar 2,000.
Sebagai tindak balas, Kesatuan Eropah dan United Kingdom telah mengenakan sekatan ke atas tiga jeneral Iran dan sebuah firma senjata yang dituduh membekalkan Rusia dengan dron.
Pada September, Kiev memutuskan untuk mengurangkan hubungan diplomatik dengan Tehran kerana isu penghantaran senjata itu. – AFP, 5 November, 2022.
Komen