Besar jasa Robert Kuok kepada ekonomi negara, kata Azmin


Diyana Ibrahim

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata tanpa masyarakat Cina tidak mungkin Malaysia boleh mencapai kejayaan seperti hari ini – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2018.

MOHAMED Azmin Ali hari ini mempertahankan Robert Kuok daripada serangan pemimpin Umno dengan menegaskan bahawa hartawan itu telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

Timbalan presiden PKR itu berkata tanpa masyarakat Cina tidak mungkin Malaysia boleh mencapai kejayaan seperti hari ini.

“Kita semua satu keluarga. Jangan marah dengan Robert Kuok, beliau telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara, begitu juga masyarakat Tiong Hua,” kata menteri besar Selangor itu.

“Kaum Tiong Hua adalah rakyat Malaysia, mereka telah bekerja kuat untuk ekonomi negara,” katanya dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina dan Pelancaran Bilik Gerakan Utama N37 DUN Lanjan di Desa Jaya, Kepong, Selangor.

Pemimpin Umno menyerang Kuok berikutan dakwaan blogger Raja Petra Kamarudin yang menuduh hartawan itu membiayai DAP.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz menggelar Kuok sebagai “pondan” dan mencabar jutawan itu kembali ke Malaysia untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14, yang mesti diadakan sebelum Ogos.

Kenyataan Nazri mengundang kemarahan parti komponen BN, MCA yang mendesak menteri itu agar meletakkan jawatan.

Serangan Nazri itu susulan kenyataan yang dibuat seorang pemimpin Umno lain, Tajuddin Abdul Rahman, juga memberitahu Kuok supaya “jangan lupa asal usulnya”.

Mengulas lanjut, kata Azmin, jika Putrajaya tidak mampu menghormati kepelbagaian kaum di Malaysia, peranan mentadbir negara boleh diserahkan kepada Pakatan Harapan yang sememangnya komited dalam perkara itu.

“Sebab itu bila kita sudah berjaya dan tingkatkan prestasi kita jangan lupa pada sumbangan rakyat malaysia (tidak kira) orang Melayu, India, Cina, India, Iban dan Kadazan (kerana) mereka adalah rakyat Malaysia.

“Kita beri jaminan Pakatan Harapan akan menjaga kepentingan semua rakyat malaysia,” katanya di hadapan kira-kira 800 hadirin. – 4 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen