Penyokong PAS ejek Khairuddin di pusat penamaan Kuala Nerus


Diyana Ibrahim

Bekas menteri Khairuddin Aman Razali hadir di pusat penamaan calon untuk Parlimen Kuala Nerus pagi ini. – Gambar Facebook, 5 November, 2022.

PENYOKONG PAS mengebu penyandang kerusi Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali apabila namanya diumumkan sah bertanding untuk mempertahankan kerusi itu sebagai calon BN pagi ini.

Sorakan dan ejekan dilaungkan penyokong PAS di luar pusat penamaan apabila nama bekas menteri tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Nerus Mohd Azizi Zulkifli.

Khairuddin sah bertanding atas tiket BN menentang exco Terengganu yang juga pemimpin veteran PAS Alias Razak serta calon PH Suhami Hashim.

Seorang lagi calon Azaha Wahid juga sah bertanding dalam pertemuan empat penjuru itu.

Khairuddin menang kerusi itu dalam PRU14 dengan majoriti 8,447 undi.

Kemenangan itu membolehkannya dilantik menjadi menteri perladangan dan komoditi apabila Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengambil alih pentadbiran sebagai perdana menteri pada 2020.

Khairuddin antara pemimpin PAS yang menonjol dalam usaha membentuk gagasan kerjasama parti itu dengan Umno.

Beliau gagal mengekalkan jawatan dalam rombakan Kabinet selepas itu dan kemudian digugurkan dari jawatankuasa pusat PAS.

Khairuddin mengumumkan keluar PAS pada Mac tahun lalu dan kemudian berjaya mendapat keyakinan BN untuk bertanding bagi mengekalkan kerusi Kuala Nerus dalam PRU kali ini. – 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen