Penamaan calon 60 minit, apa lagi kejutan?


G Manimaran

MENGIKUT kenyataan terkini Jabatan Meteorologi, Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada Isnin ini. Ia diramalkan berterusan sehingga Mac depan. 

Malah menurut jabatan itu, empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku. 

Juga diramalkan ribut petir di semua kawasan Parlimen di 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada sebelah petang hari penamaan calon hari ini.

Di tengah-tengah ramalan ini yang telah mendapat perhatian sebahagian besar pemegang taruh pilihan raya negara sejak beberapa bulan lalu, kenyataan terbaharu jabatan tersebut juga menambah keprihatinan ramai mengenai kesan ke atas kelangsungan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Pada masa yang sama kebimbangan ini bertambah parah dengan kehadiran gelombang baharu Covid-19 yang jumlah kes turut dilaporkan mengalami peningkatan.

Hari ini tempoh berkempen yang sah dan formal bagi PRU15 yang membabitkan 222 kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri akan bermula. 

Tempoh berkempen akan bermula sebaik proses penamaan calon yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berakhir dan mereka yang layak diisytiharkan sebagai calon yang sah dan boleh bertanding. 

Tempoh berkempen akan berlarutan sehingga tengah malam 18 November menjelang hari pengundian pada keesokan hari.

Sementara keadaan cuaca tidak kondusif diramalkan muncul proses penamaan calon yang agak panas dan di luar dugaan juga dijangka bakal disaksikan. Banyak faktor diketengahkan. 

Salah satunya termasuklah kesan keputusan pucuk kepimpinan parti memutuskan senarai calon masing-masing. 

Barisan Nasional (BN) dan PKR, salah satu komponen utama Pakatan Harapan (PH) tidak terkecuali dalam perkara ini. Begitu juga keadaan di Sabah. 

Sementara kita boleh anggap ia sebagai lumrah politik tetapi ia telah mencetuskan situasi tidak baik dari segi imej dan reputasi bagi parti-parti yang terlibat.

Ia boleh menjejaskan peluang persaingan ke arah Putrajaya dan pembentukan kerajaan, di kedua-dua peringkat pusat dan negeri.

Beberapa hari lalu menyaksikan parti-parti politik utama dan gabungan masing-masing mengumumkan senarai calon. 

Ia bermula dengan langkah PH minggu lalu, pada hari SPR menetapkan tarikh-tarikh utama PRU15. 

Satu persatu parti mengumumkan senarai mereka disusuli dengan pelbagai kejutan, drama dan kontroversi. Paling menarik membabitkan senarai BN. 

Pertama buat julung kali sebuah komponen memulaukan majlis pengumuman calon atas alasan senarai akhir tidak selari dengan syor yang diketengahkan oleh parti. 

Kira-kira 15 jam kemudian MIC memutuskan pihaknya menerima senarai akhir calon dan akan menyertai PRU15. 

BN terutama Umno menggugurkan 10 nama utama termasuk sejumlah menteri dan timbalan menteri. 

Sebahagian mereka dilaporkan akan bertanding secara bebas ataupun menyertai gabungan atau parti lain untuk melawan parti asal mereka. Sebahagian menerima keputusan parti. 

Antara parti pilihan mereka ialah Perikatan Nasional (PN), gabungan yang dibentuk pada tahun 2020 susulan pembentukan kerajaan baharu yang dicetuskan oleh Langkah Sheraton, dan membawa kepada kemunculan pertama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula menyifatkan isu Shahidan Kassim, pemimpin kanan Umno Perlis dan anggota Kabinet serta penyandang kerusi Parlimen Arau yang tidak dicalonkan oleh BN tidak perlu dibesarkan. 

Menurut beliau beberapa pemimpin yang tidak dicalonkan BN tidak mengeluarkan kenyataan negatif tetapi hanya Shahidan, juga bekas menteri besar Perlis. 

Dalam menguatkan pandangan itu beliau turut kelihatan menggunakan kalkulator untuk menujukkan peratusan ahli Umno yang tidak senang dengan senarai diumumkan oleh BN dan apabila mereka digugurkan. 

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi PN Abdul Hadi Awang berkata perikatan mereka mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyokong dan menyertai gabungan itu. 

Presiden PAS itu menambah memandangkan politik bersifat dinamik, maka PN terbuka menerima bakal calon yang dijangka mampu memenangi kerusi serta dapat merealisasikan tema gabungan itu iaitu ‘Bersih dan Stabil’.

Penamaan calon hanya akan memakan masa satu jam atau 60 minit sedangkan mandat yang bakal diberikan melibatkan satu tempoh selama lima tahun.  

Penyerahan borang pencalonan akan disusuli dengan pengisytiharan status calon oleh pengurus pilihan raya (RO). Menjelang pukul 11.30 pagi tempoh berkempen akan bermula secara rasmi.

Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menghuraikan dengan terpeinci aspek pengurusan penjalanan pilihan raya. 

Terdapat 31 peruntukan kesemuanya dalam undang-undang itu, yang harus dipatuhi oleh semua calon. 

Antara lain ia terdiri daripada tatacara yang diberikan secara khusus mengenai pelbagai aspek penjalanan pilihan raya, termasuk writ dan notis pilihan raya, cara penamaan calon dijalankan, cara menentukan pilihan raya yang dipertandingkan dan yang tidak dipertandingkan termasuk pelantikan RO, ketua pusat mengundi dan ketua tempat mengundi dan pelbagai pelantikan lain, hak pemilih untuk mengundi, cara pengundian dijalankan, tatacara sewaktu pengundian ditutup, pengiraan undi, penyimpanan dokumen pilihan raya, pengiraan undi awal dan pos, pelupusan kertas undi dan pelbagai tatacara lain yang perlu diketahui dan dipatuhi oleh semua pihak di dalam urusan penjalanan pilihan raya.

Penamaan calon merupakan satu proses seseorang calon wajib untuk mendaftar secara sah dan formal jika mahu bertanding sebagai calon dalam satu-satu pilihan raya. 

Penamaan calon dilakukan pada hari dan dalam masa ditetapkan oleh SPR iaitu apabila berlaku kekosongan atau pembubaran, badan pengurusan pilihan raya itu akan menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian. 

RO akan mengeluarkan notis dalam Borang 3. Notis itu mengandungi tarikh, tempat dan masa penamaan calon akan dijalankan.

Detik-detik cemas, sentimen rasa tidak puas hati dan mengejutkan berkaitan dengan senarai calon bukan sahaja berlaku di ibu negara, lokasi kebanyakan ibu pejabat parti-parti politik berada, tetapi juga di banyak tempat di seluruh negara. 

Ada pemimpin yang mengambil langkah mencabar keputusan parti dengan mahu bertanding melawan calon yang diketengahkan.

Berapa ramai akan berbuat demikian belum dapat dipastikan. Pun begitu jumlah itu dilihat akan lebih tinggi kali ini berbanding PRU14. 
Kedinamikan politik terus berkembang dan malah semakin menarik, sekali gus tidak gagal daripada membawa kepada kejutan-kejutan baharu PRU15.

Mengambil kira apa yang berlaku sejak awal minggu lepas, kita boleh menantikan beberapa kejutan pagi ini, kali ini di pusat-pusat penamaan calon itu sendiri. 

Ini termasuklah bilangan calon di setiap kawasan yang dipertandingkan iaitu 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN membabitkan tiga negeri. 

Sudah tentu kerusi DUN Bugaya, Sabah yang menyaksikan pilihan raya kecil juga akan melengkapkan warna keseluruhan musim pilihan raya kali ini.

PRU15 juga akan menyaksikan calon paling berusia akan bertanding dan bertanding semula mempertahankan kerusi. 

Sementara Dr Mahathir Mohamad akan kembali membuat rekod baharu, penyandang kerusi Gua Musang, Razaleigh Hamzah akan meneruskan rekodnya, kali ini bertanding buat kali ke-12 bagi kerusi Parlimen, kawasan yang sama.

Setakat semalam SPR dilaporkan menjual sebanyak 4,326 set borang sempena penamaan calon. 

Pada tahun 2018, yang menyaksikan saingan bagi kesemua kerusi Parlimen dan DUN kecuali Sarawak sebanyak 5,468 borang dijual. 

Secara perbandingan kali ini lebih banyak. Ia secara langsung menggambarkan demokrasi semakin subur dan dihargai. Apakah ia petanda kemunculan kejutan tambahan?

Sudah pasti segala kejutan dan detik yang bakal disaksikan hari ini akan memperkasakan semangat demokrasi dalam konteks pilihan raya. – 5 November, 2022.

* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen