BN tidak berat sebelah pilih calon, kata Zahid


Ravin Palanisamy

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata antara isu diambil kira dalam memastikan kemenangan BN termasuk pemilihan calon berdasarkan etnik dan jantina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2022.

BARISAN Nasional (BN) perlu mempertimbangkan banyak faktor untuk berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, yang digelar sebagai “ibu kepada semua pilihan raya”, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata antara isu yang perlu diambil kira dalam memastikan kemenangan BN termasuk pemilihan calon berdasarkan etnik dan jantina.

Presiden Umno itu berkata gabungan itu cuba meletakkan seramai mungkin calon wanita tetapi tidak dapat memenuhi semua tuntutan yang mendakwa terdapat aspek taktikal yang perlu dipertimbangkan.

“Kita sedaya upaya meletakkan calon wanita sebanyak mungkin. Saya kira bukan sahaja BN, akan tetapi parti-parti lain bukan BN juga lakukan perkara sama,” kata Zahid dalam catatan Facebook pagi ini.

“Namun dalam memastikan kemenangan perjuangan parti merentasi agenda gender  maknanya peranan gender penting tapi aspek taktikal kawasan ditandingi calon juga merentasi faktor gender.

“Begitu juga soal etnik, pemilihan calon untuk memenangi sesebuah kawasan parlimen tidak melihat warna kulit, etnik dan gender etnik,” katanya.

Zahid memberi penjelasan ini selepas BN dikecam kerana kembali kepada janji untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30% calon wanita pada PRU15.

Apabila calon BN diumumkan pada Selasa, ia mendedahkan bahawa hanya kira-kira 11% daripada calon yang diumumkan adalah wanita.

Zahid mengakui gabungan itu turut bertungkus-lumus meyakinkan lelaki untuk memberi laluan kepada calon wanita pada PRU15.

“Kita cuba penuhi sedaya upaya namun dalam kita cuba penuhi tersebut ada bantahan kalangan pihak tertentu misalnya ada calon penyandang calon lelaki misalnya tidak mahu memberikan laluan tersebut kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar Perlis,” kata Zahid.

Zahid berkata demikian merujuk kepada penyandang Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin yang digugurkan daripada senarai calon dan digantikan dengan Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan.

Zahid juga menambah ia tidak bermakna mereka mengetepikan permintaan wanita sepenuhnya.

Beliau berkata BN meletakkan calon wanita di Tanjung Karang sebagai pengiktirafan terhadap peranan perjuangan wanita.

Zahid mengulangi gabungan itu tidak berat sebelah apabila memilih calon sebaliknya mendakwa mereka mengutamakan calon yang dilihat boleh menang dan mempunyai ciri “wali”.

Zahid menyamakan peluang calon untuk menang seperti kebolehan kucing menangkap tikus.

“Dengan kata lain kalau boleh diungkapkan sebagai ‘tidaklah kisah sama ada warna kucing tersebut, hitam atau putih atau warna apa sekali pun, atau gender apa sekali pun  asalkan ia berkemampuan mengalahkan tikus’.”

“Jadi tidak timbul isu kononnya ada bias gender atau warna kulit,” katanya. – 4 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen