PENYANDANG kerusi Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi akan mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) selepas namanya digugurkan dalam senarai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub pada sidang media hari ini.
“Che Abdullah akan bertanding atas tiket BN di Tumpat. Kita rasa satu kelegaan apabila Che Abdullah bersetuju dengan tawaran yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata BN menawarkan tempat kepada Che Abdullah kerana yakin beliau dapat memberi kemenangan sekali gus menyumbang kerusi untuk parti itu.
Selain itu, katanya akar umbi Umno Bahagian Tumpat juga menerima baik pencalonan pemimpin PAS itu.
Semalam, PN Kelantan mengugurkan nama Che Abdullah sebagai calon Tumpat dan menggantikannya dengan calon wanita yang juga penyandang kerusi DUN Demit Mumtaz Md Nawi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 adalah pada Sabtu ini (5 November), hari pengundian (19 November) dan pengundian awal pada 15 November. – 3 November, 2022.
Komen