Daripada aktivis, Lasimbang terjun ke dunia politik Sabah


Jason Santos

Jannie Lasimbang percaya dengan menjadi ahli Parlimen akan dapat mengubah kelemahan dalam undang-undang bagi memberi lebih perlindungan kepada penduduk pribumi Sabah. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Jun, 2017.

JANNIE Lasimbang mempunyai senarai pengalaman dan pencapaian yang panjang sebagai aktivis. Sejak lebih 20 tahun memperjuangkan hak asasi Sabah, perubahan yang berlaku di negeri itu mendorongnya menceburi bidang politik.

Wanita berusia 55 tahun itu menyertai kumpulan penduduk Sabah yang inginkan perubahan dengan mengambil bahagian dalam politik dan mensasarkan satu daripada 60 kerusi di Dewan Undangan Negeri, yang pada masa ini dikuasai kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Bagaimanapun, pertempuran pertama Lasimbang adalah berdepan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya kerana mengadakan perhimpunan Bersih pada 2015 tanpa permit polis.

Kesnya itu akan disebut pada 16 Jun dan jika didapati bersalah, Lasimbang tidak akan berpeluang bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya percaya dengan menjadi ahli Parlimen akan dapat mengubah kelemahan dalam undang-undang yang ada sekarang; bagi memberi lebih perlindungan kepada penduduk pribumi,” kata Lasimbang yang kini menyertai DAP.

“Melainkan ada kemahuan untuk mengubahnya, semua masalah penduduk pribumi mengenai tanah dan pembangunan tidak akan berubah.”

Beliau bercakap berdasarkan pengalaman yang selama ini memperjuangkan hak masyarakat pribumi di negeri melalui Pacos Trust, sebuah kumpulan sokongan penduduk asal Sabah, dan semasa menjadi pesuruhjaya hak asasi manusia negeri bagi tempoh tiga tahun bermula 2010.

Secara peribadi, bekas wartawan penyiaran yang mempunyai sikap berterus-terang ini mempunyai karismanya tersendiri namun disenangi dengan sikap tenangnya.

“Selama ini, berada di sebuah organisasi bukan kerajaan, saya yakin boleh berbuat banyak perubahan, tetapi akhirnya, saya sedar ia agak sukar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lasimbang berkata usaha aktivis selama ini berjaya membawa perubahan dan pendidikan lebih baik serta memperbaiki kehidupan masyarakat peribumi, tetapi terdapat batasan sebagai seorang aktivis.

Aktivis kelahiran Penampang itu berkata masalah utama adalah sekatan undang-undang untuk membuat perubahan.

“Kerajaan BN, yang merupakan satu-satunya kerajaan yang kita tahu, tidak bersedia mengubah dasar mereka. Kami di NGO sering berdepan kesukaran,” kata pemimpin DAP bagi kawasan Penampang itu.

“Tanpa undang-undang dan dasar yang baik sebagaimana sepatutnya, aktivis akan menjadi seperti bomba, memadamkan kebakaran bila dan di mana sahaja ia berlaku.”

Beliau berkata pertikaian tanah adat adalah isu utama yang dihadapi masyarakat pribumi, sambil menambah banyak masalah itu berpunca daripada undang-undang dan dasar sedia ada.

Sebagai bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Lasimbang menghasilkan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal di Malaysia, di mana panel membuat kesimpulan terdapat trend pelanggaran sistemik hak asasi manusia berlaku melalui undang-undang dan dasar di negara ini.

Tetapi hanya pada 2013 apabila Lasimbang mula secara serius mempertimbangkan menjadi ahli Parlimen untuk membawa perubahan sebenar.

Pada tahun itu, kerajaan Sabah menangguhkan laporan garis panduan ditauliahkan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), berhubung dengan Prinsip Persetujuan Tanpa Paksaan (FPIC).

Prinsip FPIC adalah masyarakat mempunyai hak memberi atau menahan persetujuan bagi projek dicadangkan yang boleh menjejaskan tanah mereka yang lazimnya dimiliki atau diami.

Keengganan kerajaan mengenakan pensijilan bidang kuasa mengenai penanaman kelapa sawit berdasarkan prinsip FPIC menunjukkan yang beliau hanya mampu membawa perubahan sebenar sebagai pembuat dasar yang kemudiannya mendorongnya kepada DAP pada Januari lepas.

Beliau kini menunggu keputusan mahkamah sebelum mengorak langkah seterusnya dalam kerjaya politik barunya itu. – 1 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen