Tiada akujanji sokong Ahmad Zahid sebagai PM, kata Shamsul Anuar


Pengarah Komunikasi BN Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan akujanji kononnya untuk calonkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri adalah palsu dan tidak benar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2022.

PENGARAH Komunikasi Barisan Nasional (BN) Shamsul Anuar Nasarah menafikan adanya akujanji ditandatangani beliau yang tular, kononnya akan mencalonkan dan menyokong Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri.

Beliau turut mengesahkah bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang tular itu adalah palsu dan tidak benar.

“Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas ia perancangan memburukkan Umno dan BN ketika musim PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata tiada sebarang akujanji sedemikian.

Akujanji tular itu antaranya menyatakan Shamsul Anuar berikrar mencadangkan Ahmad Zahid sebagai calon perdana menteri setelah memenangi kerusi Parlimen Lenggong serta mendesak kerajaan dibentuk oleh mana-mana parti yang bekerjasama dengan Umno dan BN bagi menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan kepimpinan parti berkenaan. – Bernama, 2 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen