PESARA kerajaan dan ahli lama MCA Margaret Kung adalah penyokong kuat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz.
Tidak terkesan dengan kemelut antara Nazri dan pemimpin partinya berkaitan taikun perniagaan Robert Kuok, wanita berusia 73 tahun itu memberitahu The Malaysian Insight yang dia akan terus berkempen untuk Nazri pada pilihan raya umum akan datang.
“Dia ikhlas dan baik hati. Dia akan cuba sehabis baik untuk tolong orang,” kata Kung mengenai ahli Parlimen lima penggal Padang Rengas itu.
Dia adalah ahli Kelab Makcik Padang Rengas, sebuah kelab sosial untuk ramai suri rumah berketurunan Cina seperti Kung. Mereka juga sering menjadi tetamu hujung minggu di kediaman rasmi Nazri di Kuala Kangsar.
Nazri, ahli Majlis Tertinggi Umno kini bergantung harap kepada Kelab Makcik untuk memenangi kembali pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos ini.
Individu seperti Kung penting bagi meningkatkan sokongan kepada Nazri ketika kemelut pemimpin itu dengan MCA yang berlaku kini mengancam undi Cina terhadap Barisan Nasional.
Kelab sosial yang diilhamkan Nazri itu sudah masuk tahun ketiga akan menganjurkan lawatan dalam negara secara percuma paling kurang dua kali setahun untuk wanita di kawasannya.
Ia juga menganjurkan acara kebajikan bagi golongan miskin dan memerlukan di perkampungan Cina sekitar Padang Rengas.
“Kami ada ramai penaja. Kami sudah pergi ke Bentong (Pahang) dan Johor. Penginapan dan makanan adalah percuma. Tiada sekatan. Semua orang boleh sertai,” kata Kung.

Ruang wanita
Dengan hampir 30,000 pengundi berdaftar, komposisi Padang Rengas adalah 75% Melayu, 15% Cina dan 10% India.
Kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar itu adalah penoreh getah dan peniaga kecil
Nazri mempertahankan kerusi itu menentang PKR tetapi dengan majoriti kecil, pada 2013 sebanyak 2,230 dan pada 2008 1,749 undi.
Veteran Umno itu berkata MCA Padang Rengas telah memboikot dan berkempen menentangnya pada 2013.
Bagaimanapun, dengan sokongan Kelab Makcik, ahli Parlimen Padang Rengas itu merasakan beliau tak perlukan MCA untuk meraih undi Cina di kawasannya.
Katanya, ilham penubuhan kelab itu timbul apabila beliau melihat wanita seringkali dipinggirkan daripada program negeri.
Pada malam Jumaat lalu, Kelab Makcik menganjurkan jamuan makan malam Tahun Baru Cina untuk hampir 500 orang di Kampung Stesen, Kuala Kangsar.

Ditaja oleh seorang ahli perniagaan Lembah Klang yang rapat dengan Nazri, penduduk kampung yang hadir jamuan juga dimeriahkan dengan cabutan bertuah, hadiahnya angpaw RM200.
Walaupun pemimpin Gerakan hadir pada majlis itu, pemimpin MCA tempatan tidak hadir.
“Apabila kelab makcik ini ditubuhkan, wanita yang tak kenal satu sama lain mula jadi kawan. Mereka bersenam bersama, menganjurkan pelbagai program, termasuklah sambutan hari lahir, gotong-royong,” kata Nazri kepada The Malaysian Insight.
“Bila saya ada di sini pada hujung minggu, saya beritahu mereka boleh datang dan berehat di rumah saya. Mereka akan datang macam gangster naik motosikal,” katanya disambut dengan gelak ketawa hadirin.
Penasihat Kelab Makcik Padang Rengas, Teng Kok Weng, ahli perniagaan berusia 56 tahun dari Kampung Stesen, salah seorang daripada sejumlah kecil lelaki dalam kelab hanya untuk wanita dengan keahlian lebih 600 orang itu.
“Makcik-makcik ini tak pernah pergi Parlimen atau Putrajaya sepanjang hidup mereka. Mereka sangat gembira. Mereka berterima kasih kepada kami bawa mereka melawat.
“Anak lelaki mereka pula berterima kasih kerana mereka bekerja di luar kawasan dan tak boleh bawak emak-emak mereka berjalan,” katanya.
Katanya, kelab itu juga mengumpul derma untuk orang miskin dan sakit di perkampungan itu. Mereka juga menganjurkan gotong-royong untuk membantu warga emas membersihkan rumah mereka.
Parti komponen BN lain kini sudah meminta bantuan mereka membantu mewujudkan kelab makcik yang sama di Taiping dan Ipoh.
“Kita perlu hargai menteri begini. Dia tak berlagak. Kita tak akan ada lagi menteri yang baik macam dia,” kata Teng memuji Nazri. – 4 Mac, 2018.
Komen