Hamid Bador belum bersedia jadi calon GTA, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi GTA Dr Mahathir Mohamad berkata bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador belum bersedia untuk menjadi calon gabungan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 November, 2022.

BEKAS ketua polis negara Abdul Hamid Bador belum bersedia untuk menjadi calon Gerakan Tanah Air (GTA), kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Hamid sebelum ini dikatakan bakal menjadi calon gabungan berkenaan di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

“Beliau tidak bertanding kerana belum bersedia,” kata Dr Mahathir kepada pemberita, hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas majlis pengumuman 121 calon GTA yang akan bertanding pada PRU15, di Bangi, petang tadi.

Abdul Hamid merupakan ketua polis negara yang dilantik pada Mei 2019, dan bersara pada Mei 2021.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor akan bertemu Abdul Hamid berhubung perkara itu dengan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata beliau mampu menjadi “giant killer” sekiranya bertanding di kawasan Parlimen tersebut.

Barisan Nasional (BN) meletakkan timbalan pengerusinya yang juga timbalan presiden Umno Mohamad Hasan di kerusi Parlimen Rembau.

Penyandang Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga menteri kesihatan ditukarkan untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh. – 2 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen