MIC putuskan tanding PRU15


Ravin Palanisamy

Presiden MIC S A Vigneswaran pada sidang media hari ini berkata Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu yang bermesyuarat pagi tadi juga memutuskan untuk menerima semua kerusi Parlimen yang diperuntukkan oleh BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 November, 2022.

MIC hari ini mengesahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC pagi tadi, kata presidennya S A Vigneswaran.

CWC juga memutuskan untuk menerima semua kerusi Parlimen yang diperuntukkan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“MIC akan bertanding di 10 kerusi Parlimen yang telah diperuntukkan.

“Kerusi berkenaan adalah Padang Serai, Sungai Siput, Tapah, Teluk Intan, Hulu Selangor, Kota Raja, Kuala Langat, Batu, Port Dickson dan Segamat,” kata Vigneswaran pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CWC.

MIC katanya berpuas hati dengan semua kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.

Tambahnya, parti itu akan terus bekerja bagi memastikan kerusi- kerusi yang ditawarkan mendapat kemenangan.

Pada masa sama, Vigneswaran menyangkal dakwaan MIC memboikot majlis pengumuman calon PRU15 BN di Kuala Lumpur malam tadi kerana tidak berpuas hati dengan agihan kerusi gabungan itu.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh

Vigneswaran berkata MIC bersetuju Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi tradisinya Sungai Buloh mewakili Umno kerana berpandangan menteri kesihatan itu adalah calon boleh menang di kawasan itu.

“KJ (Khairy) ada pengikut yang ramai, calon yang bagus dan Sungai Buloh adalah kawasan Melayu bandar,” katanya.

Beliau menyifatkan pertukaran kerusi antara parti komponen BN tidak dapat dielakkan untuk mengekalkan gabungan itu.

“Inilah yang kita panggil hubungan keluarga. Mesti ada pelan jangka panjang dan pendek tetapi mampan untuk BN.” – 2 November, 2022.   

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen