BARISAN Nasional (BN) menggugurkan empat menteri dan timbalan menteri Kabinet pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob daripada barisan calon gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis pengumuman calon malam tadi, apabila mereka tidak lagi dicalonkan untuk mewakili gabungan tersebut.
Antara menteri yang digugurkan adalah Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa (Ketereh); Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim (Arau); dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba (Tenggara).
Ahmad Zahid malam tadi bagaimanapun tidak mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang yang disandang Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.
BN sebaliknya meletakkan calon muka baharu di Parlimen Arau menggantikan Shahidan iaitu Ketua Umno Bahagian Rozabil Abdul Rahman, manakala Ketua Puteri Umno Ketereh Marzuani Ardila Ariffin diletakkam sebagai calon bagi menggantikan Annuar.
Parti itu turut menampilkan calon baharu di Parlimen Tenggara menggantikan Adham iaitu ketua Pemuda Umno Tenggara Mandzri Nasib.
Naib Presiden Umno Mohamed Khalid Nordin turut membuat kemunculan semula apabila menggantikan Halimah di Kota Tinggi.
Antara timbalan menteri yang digugurkan pula adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ahmad Hamzah (Jasin); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abdul Mutalib (Maran); dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).
Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan diumumkan sebagai calon menggantikan Zahidi dan kerusi Parlimen Maran pula diwakili Shahaniza Shamsuddin, bagi menggantikan Ismail.
Sementara Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar Maslin Sham Razman menggantikan Mastura, manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin Roslan Ahmad, akan menggantikan Ahmad.
Ahmad Zahid dalam majlis malam tadi turut mengumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpindah dari Parlimen Rembau ke Parlimen Sungai Buloh.
Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein juga kekal mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz juga dinamakan sebagai calon BN di kerusi Parlimen Kuala Selangor.
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad pula kekal dicalonkan di kerusi Parlimen Parit Sulong.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid juga kekal di Parlimen Padang Terap, serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican juga kekal di Parlimen Kepala Batas
Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan turut dicalonkan kembali di Parlimen Ayer Hitam dan M Saravanan, Menteri Sumber Manusia juga kekal bertanding di Parlimen Tapah.
Ahmad Zahid yang juga presiden Umno diumumkan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk, begitu juga Ismail Sabri yang diumumkan kekal di Parlimen Bera.
Selain Tanjong Karang, Ahmad Zahid juga tidak mengumumkan calon BN di kerusi Parlimen Kuala Nerus, Jempol, dan Kuala Pilah. – 1 November, 2022.
Komen