Media sosial sekali lagi main peranan penting dalam PRU15, kata pakar teknologi


Angie Tan

Media sosial memainkan peranan penting dalam PRU15 dengan majoriti pengundi celik teknologi berusia 18 hingga 39 tahun berjumlah 954,825. – Gambar EPA, 2 November, 2022.

MEDIA sosial sekali lagi akan memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, dengan majoriti pengundi celik teknologi berusia 18 hingga 39 tahun berjumlah 954,825, kata pakar teknologi.

Teck Choon Serm, pengasas bersama Antsomi, syarikat pemula yang memfokuskan pada teknologi pemasaran dipacu kecerdasan buatan (AI), memberitahu The Malaysian Insight PRU 2018 memberi gambaran betapa pentingnya peranan media sosial.

Teck merujuk kepada Facebook yang digunakan beberapa parti politik untuk menyiarkan ceramah mereka secara langsung, sesi bertemu dan bertanya khabar, pengundian dan juga keputusan selain laporan berita.

Seperti pada 2018, Facebook masih akan memainkan peranan penting dalam PRU15 ini, tambah Teck, yang juga ahli pengasas Persatuan Digital Malaysia (MDA).

“Sebabnya mudah sahaja. Ada lebih 20 juta orang di Malaysia yang mempunyai akaun di Facebook dan jumlahnya semakin meningkat,” katanya.

“Teknologi kini memudahkan pengundi mengetahui pendirian calon dan parti mereka serta dasar mereka.

“Jadi, semuanya akan dapat melihat sejauh mana keberkesanan calon menggunakan media sosial untuk mendapatkan undi.”

Namun Teck berkata peranan dominan Facebook boleh dikurangkan kerana pengundi muda dan pertama kali yang berumur 18 hingga 29 tahun tidak menggunakan platform media sosial tersebut.

Teck yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri digital berkata Instagram yang memfokuskan perkongsian kandungan gaya hidup menjadi pilihan pengundi muda ini.

Beliau berkata parti politik sudah pasti akan menggunakan Instagram untuk menjangkau kumpulan pengundi yang tidak diketahui kecenderungan politiknya.

Teck berkata satu platform yang boleh menjadi popular seperti Facebook pada PRU15 ialah TikTok.

“Penggunaan TikTok sejak beberapa tahun ini, di Asia Tenggara dan di Malaysia, telah berkembang dengan pesat.”

Beliau berkata media sosial itu, yang menganjurkan pelbagai video pengguna bentuk pendek, daripada genre seperti gurauan, aksi, muslihat, jenaka, tarian, dan hiburan selama 15 saat hingga sepuluh minit, sangat popular dalam kalangan orang Cina.

“Saya rasa menarik untuk tengok peranan TikTok dalam menyampaikan mesej pilihan raya kepada pengundi muda pada PRU15 ini.”

Dengan amaran terbaharu tentang lonjakan kes Covid-19, Teck berkata media sosial masih menjadi kunci kepada ahli dan parti politik untuk menyampaikan mesej kepada individu yang menjarakkan diri daripada ceramah dan perhimpunan politik kerana risaukan jangkitan.

Jaga-jaga dengan berita palsu

Bagaimanapun, pakar komunikasi massa Wong Kock Hoo tidak bersetuju dengan Teck berhubung TikTok sebagai alat kempen.

Wong berkata TikTok “bukan mudah digunakan”.

“TikTok paling sesuai digunakan untuk bina imej, bukan untuk sampaikan isu serius seperti dasar parti, pendirian mengenai isu utama atau manifesto,” kata Wong. – 2 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen