PRU15: 1 undi penentu 3 keputusan


G Manimaran

TINGGAL kurang tiga minggu bagi rakyat kembali ke pusat mengundi untuk menentukan mandat. Lebih 21 juta layak untuk berbuat demikian. Sabtu ini hari penamaan calon dan disusuli dengan pengundian sebenar pada 19 November, dan di antara kedua-dua proses ini adalah tempoh berkempen.

Pelbagai dapatan dan spekulasi, sama ada yang bersifat empirikal dan sebaliknya, sudah mula meramalkan apa yang akan berlaku. Proses penamaan calon dan kempen formal, di bawah undang-undang pilihan raya belum mengambil tempat, tetapi kita sudah kedengaran tentang kedudukan parti dan gabungan parti politik pada 19 November – hari besar bagi rakyat Malaysia untuk menentukan hala tuju negara.

Dalam pada itu, sehingga kini belum ada jangkaan rasmi mengenai peratusan yang bakal mengundi. Pada hari pengumuman tarikh-tarikh pilihan raya minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengumumkan peratusan bakal membuang undi.

Bagaimanapun peratusan keluar mengundi diramal lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Dianggarkan dalam lingkungan 70 hingga 75 peratus.

Pun begitu diharap bilangan mereka yang akan mengundi menyamai paras 9 Mei 2018.

Ini kerana PRU15 adalah penting dan signifikan.

Meminta, menasihatkan dan merayu pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka merupakan amanah setiap pemegang taruh. Buat masa ini, tidak ada manual yang khusus mengenai hak dan tanggungjawab pengundi dalam pilihan raya demokrasi di Malaysia.

Bagaimanapun berdasarkan kepada undang-undang sedia ada, terutama Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya serta peraturan-peraturan pilihan raya, terdapat sejumlah perkara yang boleh disenaraikan sebagai hak dan tanggungjawab pemilih.

Di bawah undang-undang semasa, kita tidak boleh memaksa atau mewajibkan setiap pengundi untuk keluar mengundi. Bagaimanapun kita boleh, perlu dan harus terus menggalakkan, menyeru dan memujuk agar setiap pengundi yang layak keluar mengundi.

Jika rakyat enggan keluar mengundi, apa gunanya mengadakan pilihan raya. Buang duit dan buang masa, kata orang.

Setiap rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab sebagai seorang pengundi. Setiap pengundi mempunyai kuasa “satu undi” dalam menentukan masa depan negeri dan negara. Hak ini diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri serta undang-undang pilihan raya yang berkaitan.

Maka, kita perlu memainkan peranan bulat dalam menentukan hala tuju baharu.

Dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir, ada disenaraikan hak dan tanggungjawab pengundi. Antara hak pengundi termasuklah:

  • Berhak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya.
  • Berhak memperoleh sekurang-kurangnya satu kertas undi (bergantung sama ada pilihan raya  Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kedua-duanya sekali).
  • Tidak boleh dihalang daripada menunaikan tanggungjawab mereka
  • Tidak boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi.
  • Majikan perlu membenarkan pekerja mereka untuk mengundi sama ada dengan memberi cuti atau pelepasan waktu untuk mengundi.
  • Pengundi cacat atau kurang berupaya berhak mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh SPR.
  • Tidak siapa pun boleh memaksa siapa seseorang pengundi harus memberi undi mereka.
  • Pengundi boleh mendapatkan kertas undi gantian jika ada kecacatan pada kertas undi.

PRU15 merupakan pilihan raya pertama ketika negara berada di era endamik. Berbanding empat Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, suasana agak berbeza, yang turut memberi keyakinan untuk orang ramai keluar mengundi. Kita masih menanti tatacara atau SOP pengurusan, penglibatan dan penyetaan pemegang taruh dalam pilihan raya ketika fasa endemik ini.

Memandangkan setiap pengundi mempunyai hak dan tanggungjawab dalam merealisasikan pilihan raya demokrasi, keputusan tidak keluar mengundi tidak sepatutnya berlaku. Maka, keluar mengundi itu adalah penting demi menentukan masa depan mereka.

Tunaikan tanggungjawab demi masa depan yang lebih baik.

Dalam amalan demokrasi, pilihan raya itu satu peluang untuk membetulkan keadaan yang tidak betul. Jangan biarkan hak dibayangi dan dikuburkan oleh pihak atau unsur lain, dan ditenggelamkan oleh pandemik atau krisis kesihatan, atau apa jua situasi yang kita tidak alu-alukan.

Dalam PRU15, pengundi mempunyai tiga peranan penting – menentukan masa depan negara dengan memilih wakil rakyat dinamik, yang secara langsung akan menentukan parti terbaik yang bakal menerajui kerajaan baharu, dan secara tidak langsung akan menentukan bakal perdana menteri.

Satu undi akan membawa penyelesaian dan menentukan tiga keputusan.

Jika pasca-PRU14 menyaksikan tiga kerajaan dibentuk dengan perdana menteri bertukar tangan tiga kali, kali ini satu undi akan membawa tiga keputusan yang amat penting. – 2 November, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen