Duit kempen pilihan raya 


Hishamuddin Rais

PILIHAN raya datang lagi. Kali ini pilihan raya ke-15. Maknanya kita warga Tanah Melayu semenjak tahun 1955 telah melalui 14 kali pilihan raya.

Tahun 1964 kali pertama Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Tanah Melayu menjalankan pilihan raya. Kemudian Singapura meninggalkan Malaysia tapi Sabah dan Sarawak terus bersama Semenanjung membuat pilihan raya lima tahun sekali.

PRU15 kali ini jatuh pada bulan November. Masa berkempen untuk PRU15 ialah dua minggu. Penamaan calon pada 5 November, mengundi awal pada 15 November. Pada 19 November hari mengundi seluruh negara.

Dari segi teorinya pada Ahad 20 November 2022 satu kerajaan baru akan ditubuhkan.

Pilihan raya telah menjadi budaya kehidupan kita semua. Seyogia diberi tahu bahawa bukan semua negara  dalam dunia ini ada mengadakan pilihan raya untuk memilih wakil untuk mendirikan kerajaan seperti  yang telah kita lakukan selama 14 kali.

Rakyat di Republik Rakyat China belum pernah mengundi seperti kita. Begitu juga warga Arab Saudi. Ada negara di Afrika seperti Sudan dan Somalia telah menjalankan pilihan raya tapi  kuasa dirampas oleh tentera.

Pada tahap ini memangkah atau mengundi  adalah satu-satunya cara untuk mencari perwakilan. Cara mengundi yang kita lakukan  bukan lahir dari pembudayaan kita sendiri.

Membuat sambal petai, memasak patin tempoyak atau memasak menggunakan santan dan belacan adalah hasil daripada pembudayaan kita sendiri. Ini kita boleh klim sebagai bentuk budaya berasal usul dari bumi kita.

Angguk kepala, angkat tangan atau mengaku setuju adalah cara penerimaan lantikan Ketua Adat dalam budaya Adat Perpatih Negeri Sembilan. Cara ini lahir dari budaya sawah padi.

Mengundi lima tahun sekali ini diperkenalkan kepada kita oleh bekas kuasa kolonial Inggeris. Ini sistem moden pelantikan bakal pemimpin dalam negara moden.

Justeru tidak hairan walaupun kitamembudayakan cara baru memilih ketua – cara lama yang tidak moden juga masih kita guna pakai.

Cara lama kita melantik siapa ketua kita melalui sistem feudal. Kuasa dimiliki oleh darah keturunan. Undi atau pangkah tidak digunakan dalam sistem feudal ini.

Kita tidak menggunakan cara feudal 100% dalam melantik perwakilan untuk penyambung suara kita. Kita tidak seperti sistem feudal di Saudi atau di Brunei.

British dengan licik dan bijak telah mengeram dan menetaskan sistem Raja Perlembagaan. Konsep dan lembaga Parlimen diwujudkan.

Peranan kaum feudal masih ada. Perwakilan feudal tidak dilupus 100% seperti di Indonesia. Raja kita Raja Perlembagaan. Raja masih berfungsi dalam Parlimen.

Mengundi ini ditakrif sebagai manifestasi demokrasi. Demokrasi memberi makna suara ramai – suara orang ramai. Justeru siapa yang dapat undi lebih akan dilantik sebagai pemimpin.

Pada tahap sekarang  cara mengundi – mengira kelebihan undi – adalah satu satunya cara yang boleh diguna pakai. Sistem pengundian yang diteroka oleh kolonial Inggeris lebih dari 700 tahun dahulu masih dilihat sistem terbaik untuk melantik perwakilan walaupun asal usul demokrasi ini berasal dari Greece.

Menjalan proses demokrasi mengundi ini bukan murah. Lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di lapor akan menggunakan lebih 5 bilion ringgit untuk menjalankan PRU15.

Lembaga SPR mendapat dana dari kantung negara.

Lalu timbul persoalan: Dari mana pula dana  untuk membiayai bakal YB.

Dana dalam proses demokrasi inilah yang wajib  menjadi persoalan. Dana untuk jadi YB walaupun tidak dilihat – halimunan.  Peranan dana ini tidak nampak oleh mata kasar. Malah dengan mata halus pun susah nak di lihat.

Peranan dana untuk YB ini wajib difahami untuk menyedari apakah konsep  undi  sebagai suara rakyat betul-betul bergerak.

Untuk memahami dana untuk jadi YB ini kita boleh membuka kisah pilihan raya di Amerika. Sistem pengundian dan pemilihan Presiden di Amerika baru berumur 200 tahun tidak setua 700 tahun sistem Parlimen Westminster di United Kingdom.

Ketika Obama, Trump, Bush atau Biden berkempen untuk menjadi Presiden, mereka memerlukan anggaran AS$2 bilion. Malah sesiapa saja yang mahu bertanding untuk menjadi Presiden Amerika memerlukan dana yang amat lumayan.

Kini terbukti demokrasi di Amerika telah menjadi permainan orang kaya-kaya.

Dana ini diperlukan untuk berkempen. Berkempen memerlukan dana. Dari mana dana untuk berkempen akan datang ?

Dari sinilah peranan para pelobi yang berselirat membuka pejabat di Washington DC.  Para pelobi ini mewakili  pelbagai syarikat dan industri. Para pelobi ini akan bersedia memberi dana kepada calon bakal Presiden.

Ada pelobi dari syarikat tembakau, syarikat kilang minyak, syarikat cari gali, syarikat pembuat kereta, syarikat pembuat senjata. Seribu satu macam syarikat yang memiliki kepentingan bersedia memberi dana kepada bakal calon Presiden.

Presiden Amerika adalah sosok terkuat, terhebat dan terunggul dalam dunia. Belum ada lagi kerusi kuasa yang sehebat penunggu Rumah Putih.

Kuasa ini wajib dirapati jika ada apa-apa diperlukan.

Duit dari syarikat ini bukan datang dengan percuma. Duit ini adalah sebahagian dari pelaburan syarikat tersebut. Dana akan diberi dengan syarat kepentingan syarikat itu akan di jaga.

Jelas akidah demokrasi – dari rakyat untuk rakyat – yang menjadi rukun demokrasi Amerika kini telah beralih. Dana yang masuk ini lebih berkuasa dari undi orang ramai. Dana ini diperlukan untuk mencari dan memungut undi orang ramai.

Duit yuran dan duit derma anggota parti atau kutipan makan malam jumlahnya hanya tahi hidung berbanding dengan cek berjuta dolar yang ditandatangani oleh syarikat.

Jelas kelihatan bahawa Presiden Amerika – hanya jadi patung dalam permainan sandiwara pilihan raya. Pak Dalang sentiasa berada di belakang. Demokrasi  – dari rakyat untuk rakyat kini menjadi wayang Pak Dalang.

Calon Presiden akan bersuara seolah-olah untuk  pengundi – untuk kepentingan orang ramai tapi dibelakang Presiden Amerika ialah kepentingan syarikat pelobi.

Sebagai contoh - syarikat cari gali mahu kelulusan korek bumi tanpa di ganggu oleh Jabatan Alam Sekitar. Syarikat ubat mahu pil ini atau  vaksin itu diluluskan dengan segera. Syarikat  tembakau mahu kurangkan iklan merokok.

Pak Dalang paling besar di Amerika ialah Industri Pembuat Senjata – Military Industrial Complex.

Hari ini demokrasi Amerika telah dikorporatkan.  Semua lembaga demokrasi – Dewan Senat dan Dewan Kongres – juga telah di korporatkan. Hakikatnya hari ini Presiden Amerika hanya menjalankan dasar untuk kepentingan korporat.

Industri yang paling berkuasa di Amerika hari ini adalah industri pembuat senjata. Kuat sekali pengaruh industri senjata ini. Industri ini akan mentakrif siapa kawan Amerika dan siapa musuh Amerika.

Hakikatnya dasar luar negara Amerika hari ini di kendali oleh syarikat industri senjata.

Senjata makna perang. Maka industri senjata inilah  yang akan memastikan perang berterusan agar kilang senjata terus meneruskan membuat senjata.

Pada awalnya demokrasi di Amerika adalah dari rakyat untuk rakyat.  Pungutan undi adalah gambaran suara rakyat. Semua berubah – 200 tahun kemudian politik Amerika telah dikorporatkan.

Yang kita lihat wujud hari ini adalah kepentingan syarikat korporat yang menjadi kemudi arah dan garis politik Amerika.

Bagaimana dengan kita di Malaysia?

Pilihan raya kita baru berlaku 14 kali. Pada tahun 1955 pilihanraya pertama proses demokrasi berjalan lancar. Boleh ditakrif  suci dan bersih. Begitu juga PRU2 PRU3 PRU4 .... suara rakyat  masih dianggap suara keramat. Dari rakyat untuk rakyat belum tercemar.

Semua ini berubah sesudah PRU3 tahun 1969.  Tragedi Mei13 membuka pintu DEB (Dasar Ekonomi Baru). DEB ini mengubah segala-segala terutama pada  Melayu.

Ekonomi, nilai, pandangan hidup, pandangan dunia  Melayu semua berubah. Di Malaysia ini jika Melayu berubah maka semua akan berubah. Jika Melayu tidak berubah maka semuanya statik.

DEB mempertemukan  duit dengan kuasa politik. Pertemuan ini membuka apa yang dinamakan Money Politik. Ini diheboh-hebohkan dalam PAU (Perhimpunan Agung United Malays National Organisation).

Membuat duit dan jadi kaya disarankan dan dicadangkan oleh DEB. Hendak buat duit wajib ada kuasa. Poster Boy kejayaan tema DEB antaranya adalah Daim Zainuddin. Sosok ini berjaya jadi kaya dalam masa yang sama sosok ini ada kuasa politik.

Hakikatnya jika hendak kaya maka wajib ada kuasa. Untuk mendapat kuasa  perlu duit – perlu modal. Kuasa di sini adalah kuasa untuk menjadi wakil rakyat – untuk menjadi YB.

Kalau dalam Parlimen kuasa Pak Menteri. Kalau dalam Dewan Undangan Negeri kuasa Menteri Besar dan Exco.

Justeru menjadi YB dan wakil rakyat dari parti yang berkuasa dilihat sebagai jalan terbaik untuk jadi kaya. Justeru parti yang berkuasa terus di kerumuni oleh aktivis dan penyokong.

Hendak mendapat kuasa memerlukan modal. Modal awal perlu dipakai untuk berkempen. Tanpa modal untuk berkempen tak mungkin akan dapat jadi Menteri atau jadi MB.

Kalau di Amerika semuanya wujud tersusun  dengan pelbagai bentuk syarikat pelobi atau  lembaga kaji selidik yang boleh menyalur dana untuk Obama atau Trump berkempen untuk mendapat kuasa.

Kita di Malaysia masih di tahap permulaan. Dana politik dalam konsep politik wang wujud. Ia menjadi rahsia umum. Semua warga tahu. Dalam masa yang sama warga Malaysia juga buat-buat tidak tahu.

Walau dana politik kita masih di tahap permulaan. Ada yang wujud  secara resmi dan tidak resmi.

Risda, Felcra atau Mara membuat program. Lembaga ini akan menjemput YB dari daerah itu. Semua ini adalah lembaga yang didirikan dengan dana kerajaan.

Sebagai contoh: beras, gula minyak , kicap, biskut dan lain-lain akan diberi oleh Risda dengan percuma kepada bakal pengundi.  Jangan terperanjat yang menyampaikan hadiah ialah YB yang mahu dicalonkan sekali lagi. Ini dilakukan sesudah Parlimen di bubar atau akan di bubar.

Ini cara halus bagaimana dana politik dari Syarikat Kerajaan disalurkan kepada YB dari parti yang berkuasa.

Paling halimunan ialah wang tunai datang dari Towkay dan Cukong.

Sesudah PRU14  kita bernasib baik. Kita dapat melihat berkepuk-kepok ringgit tunai ditemui bila rumah Najib diserbu polis. Semua ini  adalah sumbangan  dana politik. Ini bukti – cash is king.

Kes  dana politik yang menyerlah bogel terbuka ialah kes  VLN ( Visa Luar Negara ) Zahid  Hamidi. Kes ini  memberi  kita maklumat  bagaimana syarikat yang mendapat kontrak VLN kemudian memberi sumbangan bulanan kepada parti politik.

Ini dua contoh yang dibuka di mahkamah hasil kemenangan PRU14.

Sebenarnya kita tidak tahu betapa banyaknya jaringan antara Towkay, Cukong dan Pemilik Syarikat melabur untuk memenangkan bakal  calon.

Lagi berwibawa – lagi berpotensi calon untuk jadi Menteri atau Perdana Menteri  lagi lumayan dana mencurah. Duit  ‘ cash’ masuk sebagai sumbangan kepada dan parti.

Seyogia diingati bahawa curahan dana  politik wang ini hanya  berlaku untuk parti yang memiliki kuasa dan akan mempertahankan kuasa.

Parti pembangkang yang tidak berkuasa  tempias pun tidak hinggap. Amin.

Negeri Sembilan dan Selangor bawah PKR. Pulau Pinang d bawah DAP.  Ini juga bermakan mereka juga diiktiraf sebagai parti yang berkuasa.

Dana politik juga pasti ada kerana ini watak kuasa. In watak dan hukum pilihan raya. Ini syarat politik mengundi – electoral politic. Di mana ada kuasa pasti ada pelaburan datang.

Apalah semua ini ditakrif sebagai rasuah? Apa yang Towkay dan Cukong dapat nanti? Tunggu minggu hadapan untuk pencerahan. – 1 November, 2022.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen