KM Pulau Pinang disahkan positif Covid-19 


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini disahkan positif Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini disahkan positif Covid-19 dan akan berehat untuk tempoh beberapa hari, kata Penasihat Khas Pelaburan Ketua Menteri Lee Kah Choon.

Lee berkata Chow perlu berehat beberapa hari sebelum boleh menjalankan tugas seperti biasa.

“Buat masa ini beliau akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti biasa, ia hanya Covid-19 normal, jadi tiada apa yang perlu terlalu dirisaukan,” katanya kepada Bernama selepas majlis pembukaan rasmi hab pengedaran rantaian bekalan baharu NI Malaysia Sdn Bhd, di George Town.

Katanya beliau hanya berhubung dengan Chow menerusi panggilan telefon dan mesej.

Terdahulu, Chow dalam Facebook rasminya memaklumkan beliau telah menjalani ujian saringan kendiri Covid-19 pagi ini dan didapati positif.

Ahad lepas, Chow yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang, telah diumumkan sebagai calon parti itu untuk Parlimen Batu Kawan bagi menggantikan penyandang, Kasthuriraani Patto, yang dilaporkan tidak akan bertanding pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November, penamaan calon (5 November) manakala pengundian awal pada 15 November ini. – Bernama, 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen