Ketua PBB ketengah peranan penting bandar dalam promosi pembangunan mampan global


Setiausaha Agung PBB António Guterres berkata bandar memain peranan penting dalam pembangunan dunia yang mampan untuk semua jika mengambil kira sebahagian besar pelepasan karbon global. – Gambar EPA, 1 November, 2022.

BANDAR memain peranan penting dalam pembangunan dunia yang mampan untuk semua jika mengambil kira sebahagian besar pelepasan karbon global, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres semalam.

Guterres menyatakan demikian dalam mesej sempena Hari Bandar Sedunia yang disambut pada 31 Oktober. Tema tahun ini “Bertindak di peringkat tempatan untuk Melangkah ke peringkat Global”.

Hari ini lebih separuh penduduk dunia tinggal di kawasan bandar dan lebih dua pertiga akan melakukannya menjelang 2050, katanya.

Bandar-bandar yang menjana lebih 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global menyumbang lebih 70% daripada pelepasan karbon yang bermaksud pelaksanaan Matlamat Pembangunan mampan sebahagian besarnya berlaku di bandar-bandar, kata ketua PBB itu, lapor Xinhua.

Banyak bandar menerajui peralihan kepada tenaga boleh baharu, menetapkan sasaran bersih sifar yang boleh dipercayai dan membina infrastruktur berdaya tahan iklim.

“Saya menggalakkan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan dan bandar lain di seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman dan membantu merealisasikan cita-cita itu,” kata Guterres.

Tindakan tersendiri yang diambil oleh bandar ke arah mewujudkan dunia mampan akan menjadi sebutan di peringkat global manakala dasar transformatif yang menjadi perintis bandar hari ini boleh memangkinkan perubahan yang akan menyelamatkan nyawa dan mata pencarian di mana-mana sahaja pada masa depan, katanya.

“Pada Hari Bandar Sedunia, marilah kita berazam untuk bekerjasama bagi membangunkan dunia yang mampan, inklusif dan berdaya tahan untuk semua,” kata Guterres. – Bernama, 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen