SEKIRANYA Abang Johari Openg menerima tawaran Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk berundur, ahli Parlimen tujuh penggal itu akan menjadi nama terbesar yang akan hilang daripada barisan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusi GPS yang juga premier Sarawak memberitahu pemberita pada Ahad bahawa penyandang empat penggal kerusi Santubong - adalah ahli Parlimen Batang Lupar selama tiga penggal antara 1995 dan 2004 - telah menyampaikan kepadanya bahawa beliau tidak mahu bertanding semula.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata beliau masih belum memutuskan sama ada mahu menerima atau tidak hasrat Wan Junaidi itu.
Malah sebelum Abang Johari membuat pendedahan itu, timbul spekulasi bahawa Wan Junaidi mungkin hilang daripada barisan GPS dengan khabar angin bahawa beliau “digugurkan”.
Apabila beliau ditanya oleh wartawan beberapa hari sebelum itu sama ada menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berusia 77 tahun itu “akan bersara”, Abang Johari menjawab: “Saya tidak tahu. Awak tanya dia.”
Wan Junaidi pula tidak membalas mesej meminta beliau mengulas berhubung spekulasi itu.
Beliau pertama kali dipilih ke Parlimen pada pilihan raya umum ke-8 pada tahun 1990 di kerusi luar bandar Batang Lupar.
Beliau berjaya mempertahankannya selama tiga penggal pada PRU8 pada 1990, PRU9 pada 1995 dan PRU10 pada 2004 sebelum pertukaran kerusi menyaksikan beliau berpindah ke Santubong dan Ahli Parlimen Santubong tiga penggal Rohani Abdul Karim menggantikannya di Batang Lupar.
Pada PRU14 pada 2018, Wan Junaidi menewaskan calon lawan daripada Pakatan Harapan Mohamad Fidzuan Zaidi dalam pertarungan satu lawan satu di kerusi majoriti Melayu yang mempunyai lebih 45,600 pengundi untuk menang dengan majoriti 19,485 undi.
Daripada 33,273 undian, Wan Junaidi menerima 26,379 undi manakala 6,894 undi diperoleh Fidzuan.
Dalam surat ucapan terima kasihnya pada penghujung 13 bulan sebagai menteri undang-undang, beliau menyenaraikan kelulusan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 untuk memberi laluan kepada pemulihan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kelulusan undang-undang antilompat parti dan pelaksanaan undang-undang Undi18 sebagai pencapaian terbesar beliau.
Wan Junaidi yang merupakan bekas pegawai polis, bukanlah satu-satunya ahli Parlimen yang dijangka tidak akan mempertahankan kerusinya.
Beliau adalah antara empat penyandang, kesemuanya daripada PBB merupakan parti utama dalam gabungan pemerintah empat parti di negeri itu.
Rohani, yang bertukar kerusi dengan Wan Junaidi pada 2004, juga dikhabarkan menawarkan diri untuk “berundur”.
Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu juga merupakan ahli parlimen tujuh penggal seperti Wan Junaidi kerana kedua-duanya memenangi pilihan raya pertama mereka pada masa yang sama pada pilihan raya 1990.
Anak kelahiran Simanggang berusia 67 tahun itu kini mempengerusikan pihak berkuasa pembangunan yang baru ditubuhkan untuk kampung halaman, Agensi Pembangunan Sri Aman (Sada).
Turut dijangka berundur ialah Robert Lawson Chuat, penyandang kerusi Parlimen Betong manakala timbul khabar angin penyandang Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, digugurkan.
Lawson ialah ahli Parlimen sepenggal manakala Rubiah ialah ahli Parlimen dua penggal.
Sebelum menang di kerusi yang dianggap sebagai kubu kuat GPS, Lawson berkhidmat sebagai Adun Bukit Saban selama dua penggal, dari 2006 hingga 2016.
Beliau meletak jawatan pada pilihan raya negeri 2016 untuk memberi laluan kepada Ahli Parlimen Betong ketika itu, dan kini Timbalan Premier Douglas Uggah, kembali ke politik negeri.
Abang Johari dijangka menamakan calon GPS beberapa hari lagi. – 1 November, 2022.
Komen