Perang survei menjelang PRU15


Faisal Tehrani

Jangkaan dan ramalan parti manakah yang akan berpeluang membentuk kerajaan yang dibuat oleh badan bebas sering mengujakan pemerhati dan peminat politik.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

DALAM setiap pilihan raya jangkaan dan ramalan parti manakah yang akan berpeluang membentuk kerajaan sering mengujakan pemerhati dan peminat politik. 

Di negara kita antara lain terdapat ‘badan bebas’ yang membuat tumpuan berkala ini seperti Merdeka Centre, Ilham Centre, dan Invoke. 

Sejauh manakah badan-badan ini tepat memberikan ramalan mereka sangat bergantung kepada data itu sendiri, cara data diperolehi dan bagaimana ia ditafsirkan. Data itu ialah komen atau pilihan yang dibuat oleh mereka yang menjadi responden. 

Makanya teka-teki badan-badan tukang kira dan ramal ini mewarnai PRU15. 

Sebagai misalan Ilham Centre menyatakan dalam satu survei yang dijalankan antara 1 Ogos ke 30 September lalu imej untuk Ismail Sabri, Perdana Menteri sementara dari Umno adalah sangat positif. 

Hal ini barangkali tidak menyeronokkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dicekak perbicaraan berkaitan korupsi memandangkan beliau yang akan menandatangani watikah pelantikan calon pilihan raya. 

Umno ada sebab untuk bersorak-sorai kerana survei Ilham Centre itu menunjukkan parti yang dilanda masalah rasuah dan korupsi itu tetap memperolehi perhatian positif 31.8% responden sebelum Dewan Rakyat dibubarkan. 

Seolah-olah mereka yang menjawab survei itu tidak mengimani hari kiamat kerana rasuah semacam dikesampingkan.

Akan tetapi Merdeka Centre membawa petunjuk berbeza berbanding Ilham Centre. 

Tahap kepuasan terhadap Barisan Nasional (PM Ismail Sabri yang mengetuai kerajaan persekutuan adalah dari parti itu) sebelum Parlimen dibubarkan membawa isyarat buruk buat penyokong Umno. Mereka hanya mengaut 38% perhatian baik. Selebihnya tidak baik. 

Barang diingat pandangan positif terhadap parti Barisan Nasional sebelum PRU14 pada tahun 2018 adalah 39%.  

Jadinya, menurut Merdeka Centre tanggapan terhadap BN adalah lebih buruk berbanding 2018 iaitu menjelang PRU.

Lain dari itu Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri PH pula mengumumkan yang Invoke sebuah badan di bawah naungan PKR menyatakan semacam kepastian bahawa Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang di 100 kerusi Parlimen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang. 

Invoke sebuah badan di bawah naungan PKR menyatakan semacam kepastian bahawa Pakatan Harapan mempunyai peluang di 100 kerusi Parlimen untuk PRU15 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

Bahkan unjuran dalaman BN menunjukkan ia hanya mampu memenangi sehingga 80 kerusi.

Makanya siapakah yang lebih tepat?

Tentu ia amat mendebarkan untuk penyokong gabungan parti-parti berkenaan. 

Tambahan pula survei ini boleh dan akan membentuk pelbagai persepsi menjelang 19 November kelak. 

Seperti yang telah saya nyatakan lebih awal terdapat kemungkinan semua badan pemikir atau peramal ini benar dan sahih. 

Yang menjadikan mereka begitu berbeza antara satu sama lain ialah tempoh masa data atau survei itu dikutip. 

Semacamnya Ilham mengutip data tersebut di ketika bekalan telur masih ada. Cuba responden yang sama ditanya minggu lepas tentu ketiadaan telur itu dapat dikaitkan dengan Ismail. 

Juga survei ini sangat bergantung kepada data iaitu responden yang memberi maklum balas. Entah responden itu sedang sibuk tapi ditanya-tanya juga. Jadi jawapannya pun mungkin agak tergesa-gesa.

Kalau kebetulan sedang menjawab panggilan telefon survei itu di dalam kamar kecil maka jawapan yang ditanya itu mungkin juga dipengaruhi oleh aksi-aksi memerut. 

Juga bagaimana caranya data itu diekstrak. Paling penting ialah bagaimana ia ditafsirkan. 

Tidak ada cara paling benar dan tepat untuk ini. Setiap pihak mempunyai metode masing-masing untuk menentukan ramalan yang mereka nyatakan.

Katakan saya meletakkan dua pemimpin tidak setanding. Yang satu dikenal di peringkat nasional manakala yang seorang lagi tidak pernah diketahui wujud. Tentu sahaja jawapannya tidak seimbang.

Itu antara contoh bagaimana survei ini masih memusykilkan kita. Setiap badan di atas pernah membuat kira-kira salah dalam meramal, justeru dalam hal ini setiap badan survei mempunyai kesetaraan dari segi melakukan kesilapan. Mereka mungkin betul, mungkin juga tersilap.

Ada orang bilang survei-survei ini gunanya untuk mencipta persepspi atau naratif tertentu yang memihak kepada pihak dan parti bertanding. 

Tidak semestinya. 

Survei Ilham Centre itu menunjukkan Umno yang dilanda masalah rasuah dan korupsi itu tetap memperolehi perhatian positif 31.8% responden sebelum Dewan Rakyat dibubarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

Pengundi sebetulnya tidak boleh ditentukan atau terpengaruh sama sekali oleh survei-survei bebas ini. 

Bahkan dalam banyak keadaan pengundi masih boleh berubah di kotak undi, di saat paling akhir tangannya mengangkat pena.

Saya pernah menemukan seorang pengundi yang memberitahu bahawa beliau beristighfar dan amat khuatir jika undi beliau untuk DAP akan membawa beliau ke neraka. 

Bayangan api merumba di retina mata. Itu adalah bayangan di kotak undi di saat memegang pena untuk memangkah kotak di sisi lambang parti pilihannya. 

Akan tetapi demi dia mengingatkan parti saingan DAP itu iaitu PAS tidak ada pelan duniawi yang jelas manakala parti Umno pula diselaputi dosa rasuah; beliau akhirnya dengan dua kali coret menandakan di kotak calon parti pembangkang itu satu kemenangan.

Demikian juga saya pernah melihat seorang pengundi yang kelihatan berwaspada membawa telefon bimbit masuk ke dalam pusat pengundian dan kerap tertoleh-toleh ke belakang ketika masuk ke lorong belakang di luar pusat pengundian yang membawanya ke arah kawasan perumahan. 

Tuhan dan malaikat pencatit sahaja tahu apa yang berlaku.

Saya juga masih ingat dalam satu pilihan raya bagaimana mood bertukar dengan drastik apabila Tengku Razaleigh ditampilkan memakai sigah tradisi etnik di Sabah yang dibesar-besarkan sebagai bertanda salib. 

Parti Semangat 46 pimpinan beliau menerima nasib yang hodoh sekali di peti undi. Ini kerana akhbar utama memaparkan foto tersebut sehari sebelum hari pengundian dan sekelip mata perubahan besar terjadi. 

Kegerunan terhadap gerakan kristianisasi telah membentuk minda pengundi. 

Padahal kemudian kita mengetahui sigah yang dikenakan oleh Tengku Razaleigh itu tak ada kena mengena dengan Jesus atau Injil.

Hari ini dengan pengaruh media sosial dan aplikasi Whatsapp yang boleh meracun minda dan pertimbangan pengundi di saat menanti masa untuk memangkah calon pilihan; apa sahaja boleh berlaku di hari pengundian. 

Orang Melayu juga ada sifat amuk. Mungkin mereka mengamuk membuat kejutan. 

Orang Melayu misalnya juga ada sifat latah. Mungkin mereka melatah membuat tingkah lumrah iaitu meraikan parti rasuah. 

Pokoknya semua survei di atas tadi belum tentu dapat menunjukkan petanda yang ketara akan apa yang bakal berlaku pada malam 19 November nanti. 

Semua pihak masih berpeluang mendabik dada dan menjerit-jeritkan peluang. – 1 November, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen