Siapa calon BN di Kuala Selangor


K. Kabilan

Nama Tengku Zafrul Abdul Aziz disebut sebagai calon BN PRU15 di Kuala Selangor apabila beliau sering hadir pelbagai program di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu. – Gambar Facebook, 1 November, 2022.

SEJAK berbulan lalu, nama menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz disebut-sebut sebagai kemungkinan calon Umno untuk kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, dengan hari penamaan calon tinggal berbaki beberapa hari lagi, dan Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calonnya, masih tidak jelas adakah Tengku Zafrul dipilih untuk kerusi itu.

Sumber BN negeri berkata ada ketidakpastian saat akhir berkenaan pencalonan Tengku Zafrul, terutama berkenaan sama ada lebih baik beliau mengetuai pilihan raya negeri tahun depan, bukannya untuk calon kerusi Parlimen.

“Umno sudah pilih hampir 70% hingga 80% calonnya tetapi berkenaan Zafrul bertanding di Kuala Selangor, ia belum diputuskan,” kata pemimpin kanan BN.

“Beliau agak popular di kawasan itu dengan programnya atas kapasiti sebagai menteri kewangan. Beliau kerap berada di situ.

“Penduduk tempatan juga mungkin gembira dengan beliau tetapi pada masa ini ada pertimbangan untuk beliau mengetuai pilihan raya negeri tahun depan.

“Mungkin beliau lebih sesuai untuk menawan semula negeri itu daripada PKR,” katanya.

Sumber berkata perkara itu yang sedang difikirkan di peringkat kepimpinan Umno dan BN negeri, terutama apabila mereka sudah menerima hakikat yang Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar setakat ini gagal memenangi semula negeri itu.

“Noh adalah panglima perang di Selangor tetapi mungkin sudah tiba masanya beliau ditukar jika BN benar-benar mahu memenangi negeri itu.

“Beri cabaran kepada muka baharu seperti Zafrul lebih baik kerana beliau akan ada idea baharu untuk kalahkan Pakatan Harapan,” kata pemimpin MIC negeri.

Selangor dipegang PH sejak 2008 dan sejak itu Umno/BN tidak pernah berjaya dalam cubaannya untuk merampas semula negeri terkaya di negara ini.

Selangor memutuskan untuk mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, sama seperti dua negeri lain yang ditadbir PH, bertujuan membolehkan fokus diberikan kepada bantuan untuk mangsa banjir pada musim hujan ini.

Keadaan itu memberikan harapan baharu untuk kepimpinan BN negeri menggandakan usaha mereka dalam memenangi semula negeri itu tahun depan kerana keseluruhan jentera BN dapat menumpukan kepada pilihan raya negeri.

“Pada masa ini Umno tidak ada calon menteri besar untuk Selangor. Siapa pun yang ada, mereka hanya muka lama,” kata sumber daripada MIC.

Katanya, Tengku Zafrul mempunyai laluan mudah kerana beliau sudah pun dilantik sebagai bendahari BN negeri dan pengerusi manifesto BN negeri untuk memastikan dasar dan perancangan berada pada landasan betul untuk menawan kembali Selangor.

Bagaimanapun kedua-dua pemimpin peringkat negeri berkata ia terpulang kepada kempinan Umno untuk membuat keputusan itu.

“Jika ia Tengku Zafrul seperti dijangka, maka kita akan kerja keras memastikan beliau jadi ahli Parlimen,” kata sumber BN. – 1 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen