Pengabaian nelayan di Pulau Pinang ancam bekalan makanan 


Mustafa K. Anuar

Perkampungan nelayan Sungai Kluang di Pulau Pinang kini dikelilingi pembangunan dan kebanyakan kawasan menangkap ikan nelayan di sini semakin terancam.– Gambar The Malaysian Insight, oleh David St Loh, 3 Mac, 2018. 

SEKIRANYA tiada tindakan diambil untuk melindungi alam sekitar dan ekosistem marin semula jadi, bekalan makanan dan sumber pendapatan rakyat akan terjejas, kata nelayan di Pulau Pinang. 

Menurut mereka, ekosistem marin dan perairan di sekitar Pulau Pinang dan tanah besar perlu dilindungi dengan apa cara sekalipun bagi memastikan kemampanan dan mengelakkan sumber perikanan pupus. 

Tiada, atau kurang perlindungan kata nelayan Pulau Pinang, yang turut menjejaskan kehidupan dan kebajikan komuniti nelayan di negeri ini. 

Malah, ia turut menyumbang kepada peningkatan harga ikan dan makanan laut. 

Sejak beberapa tahun lalu, pencemaran pantai menyebabkan kehidupan marin seperti rumpai laut dan spesis terumbu karang terjejas, yang mana ia amat pentng kepada kehidupan ikan dan udang. 

Ketua unit perikanan Jelutong Badru Hisham Hashim, 49 berkata salah satu punca yang menjejaskan pencarian komuniti nelayan Jelutong adalah tapak pembuangan sampah berhampiran yang beroperasi sejak 1970an. 

Katanya, tapak pelupusan sampah berkenaan yang semakin berkembang, kini mengunjur ke laut, menyebabkan arus laut yang menolak lumpur kembali ke arah penempatan nelayan Jelutong. 

Katanya, kerja penambakan berhampiran jambatan pertama Pulau Pinang turut menyumbang kepada masalah pertukaran arus laut. 

Kesannya, paras air di kawasan yang menempatkan pondok nelayan meningkat mendadak kerana lumpur ditolak ke arah pesisir, menyebabkan laut di kawasan terbabit menjadi cetek. 

“Kami tidak lagi dapat menangkap ikan di kawasan ini kerana lumpur menyebabkan hidupan marin mati,” kata Badrul. 

“Apa yang lebih teruk, kami hanya boleh gunakan bot kami ketika air pasang yang membolehkan ia ke kawasan laut dalam.”

Beberapa nelayan memilih untuk menangkap ikan di kawasan laut dalam berikutan kekurangan ikan di kawasan berhampiran pesisir. 

“Tapi tidak ramai daripada kami yang boleh melakukannya,” kata nelayan Mohd Taib Rejab, 55.

“Ini kerana kamu memerlukan bot yang lebih besar dan teguh, yang bermakna kamu memerlukan lebih banyak sumber kewangan dan berdepan dengan kos pengeluaran yang tinggi.”

Bot besar yang digunakan di laut dalam dilengkapi enjin yang berkuasa, sistem GPS yang canggih dan sistem sonar untuk mengesan kawanan ikan. 

Kebanyakan nelayan mempunyai sumber kewangan yang terhad hanya menggunakan bot kecil dan pedoman, satu cara tradisional untuk mengesan kawanan ikan dengan menanda dua atau tiga objek yang boleh dikesan seperti, batu di kawasan laut atau hujung pulau. 

Taib yang berpengalaman 30 tahun sebagai nelayan berkata, purata pendapatan bulanan kebanyakan nelayan berkurangan hampir separuh sejak beberapa tahun lalu berikutan cabaran, walaupun menerima elaun bulanan kerajaan RM300. 

Pemandangan di pangkalan nelayan kampung Sungai Kluang yang menjadi penempatan nelayan sejak dahulu lagi.– Gambar The Malaysian Insight oleh David St Loh, 3 Mac, 2018.

Bagi kebanyakan nelayan di Jelutong kata Badrul, hanya menangkap ikan menjadi sumber pendapatan mereka, yang menyebabkan pembangunan seperti projek penambakan di selatan pulau menjadi kebimbangan utama kepada mereka. 

Katanya cadangan itu bukan sahaja menjadi mimpi ngeri buat mereka, namun ia juga membabitkan kawasan yang kaya dengan udang. 

Ketua unit perikanan Batu Uban Abdul Razak Abdullah berkata, komuniti nelayannya turut berdepan masalah sama, jadi kebanyakan nelayan terpaksa melakukan dua kerja untuk menampung perbelanjaan harian. 

“Ada di antara mereka mengambil upah membawa pemancing pada hujung minggu ke kawasan yang ada ikan, seperti kawasan berhampiran jambatan. Mereka mengenakan bayaran pengangkutan,” katanya. 

Malah beliau yang berusia 61 tahun turut menjual kuih untuk menjana pendapatan tambahan manakala ada nelayan lain yang mengambil upah menghantar tong gas ke rumah dengan sedikit upah. 

Razak turut percaya pencemaran di tepi pantai penempatan nelayan Batu Uban juga berlaku disebabkan projek tambakan yang dibuat di hadapan Queensbay Mall, serta aktiviti bot pukat tunda yang sering datang ke kawasan berkenaan untuk mengaut semua hidupan laut termasuk rumpai laut dan terumbu karang. 

Razak turut menyatakan kebimbangannya mengenai beberapa spesis ikan seperti gelama pisang, gelama selampai dan kerapu, semakin terancam. 

Seorang lagi nelayan berkata, mereka sebelum ini pernah menangkap banyak udang di kawasan perairan itu hingga boleh mengadakan Pesta Udang di Batu Uban.

“Kini kami tidak lagi dapat menikmati semua itu.”

Sementara itu, Badrul berkata kebajikan nelayan yang terdiri daripada pelbagai kaum di negeri itu perlu diambil perhatian oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa persekutuan, terutama dalam memberikan sumbangan kepada bekalan makanan. 

Katanya penempatan nelayan perlu dikekalkan sebagai tapak warisan.– 3 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen