Pelajar bantu 1 juta rakyat Malaysia di luar negara bawa kertas undi pos ke tanah air


Desmond Davidson

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Australia akan menyelaraskan pengumpulan kertas undi dan membawanya pulang ke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2022.

GABUNGAN Global Pertubuhan Pelajar Malaysia (MSO) berharap dapat menyelaraskan proses pengundian terbesar dalam sejarah pilihan raya negara dengan membantu sejuta rakyat di luar negara menghantar kertas undi pos mereka ke Malaysia.

Salah satu pertubuhan MSO, Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Australia (Masca), berharap dapat membantu antara 8,000 dan 10,000 pelajar mengembalikan kertas undi pos mereka ke tanah air.

Inisiatif Masca, yang mendapat sokongan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, akan menyelaraskan pengumpulan kertas undi dan membuat pengaturan untuk mengembalikannya ke Malaysia.

Masca berkata pihaknya mengatur tempat kutipan undi di semua negeri, kecuali Wilayah Utara, dengan kutipan dari 10 hingga 15 November.

Undian yang dikumpul kemudian akan dihantar kepada sukarelawan yang pulang ke Malaysia antara 16 dan 17 November.

Menurut Masca, perwakilan pelajar itu menjalinkan hubungan dengan VoteMalaysia dan Undi18, di mana sukarelawannya akan mengumpul dan menyusun sampul undi apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan mengedarkannya ke pusat mengundi yang betul.

Masca dalam satu catatan di halaman Facebooknya menyatakan inisiatif serupa dibuat pada PRU14, “walaupun dalam skala yang lebih kecil”.

Pada PRU15 ini, Masca berkata ia diperluaskan merangkumi lebih banyak lokasi pengumpulan.

Menurut Masca, selain memulangkan semula kertas undi ke Malaysia, inisiatifnya juga termasuk menyebarkan maklumat dan menjalankan promosi mengenai pilihan raya umum.

Inisiatif itu, menurut majlis perwakilan pelajar itu, adalah untuk membantu pelajar berdepan halangan yang dijangka boleh dialami mereka dalam melaksanakan hak demokrasi.

Antara halangan yang sudah mereka hadapi ialah keperluan untuk mencari saksi bagi kertas undi pos.

Majlis itu juga akan membantu pelajar yang lewat menerima kertas undi, dengan kos pos ekspres antarabangsa yang tinggi serta ancaman kelewatan akibat banjir di Australia dan Malaysia.

Menurut Masca, majlis itu akan menggerakkan “crowdfunding” bagi membiayai inisiatif kos pengeposan yang akan ditanggung.

Hasilnya akan disalurkan kepada bayaran bagasi tambahan yang akan dikenakan ke atas sukarelawan, bayaran pos tempatan, penyewaan Peti Surat dan minuman dan makanan sukarelawan.

Pergerakan Undi18 sebelum ini berkata ia turut menganjurkan projek untuk membawa balik 50,000 kertas undi di luar negara bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat peluang mengundi pada pilihan raya umum.

Pengasas bersamanya Tharma Pillai berkata mereka akan bekerjasama dengan 13 organisasi belia dan pelajar di 10 negara untuk mencapai matlamat ini.

Negara yang mengambil bahagian ialah Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Turki, Maghribi, Jepun, Jerman, Mesir, Singapura dan Qatar.

Undi18 berjaya menganjurkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur minimum mengundi di Malaysia daripada 21 kepada 18 tahun.

Kumpulan itu bermula sebagai gerakan pelajar pada 2016, di bawah payung Perikatan Global Pelajar Malaysia.

Rakyat Malaysia akan mengundi pada pilihan raya umum ke-15 pada 19 November dengan penamaan calon dijadualkan pada 5 November. – 31 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen