AWAL-AWAL lagi sebelum PRU14, Khairul Anwar, memutuskan untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana gelombang penolakan ke atas Umno dan Barisan Nasional (BN) pada waktu itu.
Pemilik kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang itu berkata beliau juga bertekad demikian kerana pengaruh Dr Mahathir Mohamad yang menyertai kempen PH pada ketika itu.
Namun kali ini pengundi Bayan Lepas itu berkata beliau tidak akan menetapkan sokongan selagi belum dapat melihat calon yang bakal bertanding, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kali ini saya akan undi tengok pada calon dahulu. Macam orang sekarang tak berparti, hari nak keluar mengundi baru lah kita pilih tengok pada calon,” kata Khairul, 45.
Sikapnya berubah kali ini kerana melihat parti politik di Malaysia pada waktu ini terlalu mementingkan kuasa sendiri berbanding menjaga kebajikan rakyat.
Khairul berkata sikap itu juga ditunjukkan PH di Pulau Pinang yang berubah wajah sama sekali selepas menang PRU14.
“Boleh kita katakan sebagai pengundi Melayu kita kecewalah, dulu kerajaan DAP di Pulau Pinang ini masih OK tapi sekarang sangat teruk selepas menang PRU14.
“Cara memerintah DAP ini macam samseng. Kalau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini dah tak ada budi bicara akan terus rampas saja kalau orang Melayu kita ini berniaga tak ada lesen,” katanya.
Kebanjiran warga asing, persepsi DAP anti-Islam
Bagaimanapun layanan PBT berbeza ke atas warga asing yang dilihatnya tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun menjalankan perniagaan secara haram.
Dakwanya isu kebanjiran warga asing begitu membimbangkan penduduk kerana migran tersebut bersaing untuk mendapatkan pekerjaan selain menyumbang kepada masalah sosial dan kesihatan.
“Kalau di Pulau Pinang memang sangat tidak terkawal jumlah warga asingnya. Tak payah pergi jauh, di sebelah kedai makan saya ada warga asing yang menjalankan perniagaan kedai runcit.
“Pergi mana-mana mesti akan ada mereka yang buka kedai, padahal mereka bukan ada lesen, berniaga secara haram.
“Tapi apa kerajaan negeri buat? Kalau orang Melayu kita cepat saja buat serbuan,” luahnya.
Selain itu pengundi Melayu seperti beliau juga melihat DAP anti-Islam kerana tindakan pemimpin parti itu campur tangan dalam isu melibatkan agama Islam.
Beliau memberi contoh kes ibu tunggal, Loh Siew Hong yang mencabar penukaran agama tiga orang anak kanak-kanak oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Khairul berkata saman itu begitu mengundang kemarahan orang Melayu terutama sekali apabila melihat pemimpin DAP tampil membela ibu tunggal terbabit.
“Sebab itu saya kalau calon DAP, kalau kali ini mereka letak bendera DAP saya tolak. Tapi kalau Amanah atau PKR mungkin saya boleh terima lagi tengok pada calon,” katanya.
Bagaimanapun beliau tetap menolak PAS kerana menganggap pemimpin parti Islam itu mempergunakan agama demi kepentingan sendiri.
“Ini bukan bermaksud saya akan mengundi PAS ke saya tolak parti itu kerana pemimpin mereka penunggang agama,” katanya.
Bagaimanapun dengan segala isu yang terpalit, beliau percaya PH akan dapat mengekalkan pentadbiran di negeri itu sekali lagi biarpun sokongan pengundi Melayu merosot.
Ini kerana pengundi seolah-olah tidak mempunyai pilihan kerana masih menolak BN yang dilihat sebagai parti rasuah, katanya.

Kerajaan campuran DAP-PKR Pulau Pinang dibentuk ekoran kemenangan kedua-dua parti yang bekerjasama dengan PAS bagi menewaskan BN dalam PRU 2008.
Ketika itu DAP menang 19 kerusi DUN dan selebihnya sembilan dimenangi PKR dan satu oleh PAS di Permatang Pasir.
Seterusnya dalam PRU14, PH mengukuhkan kuasanya dengan memenangi 11 kerusi Parlimen dan 37 kerusi DUN yang merosot kepada 33 selepas peralihan kerajaan taun 2020.
Pengundi Melayu dalam pulau tetap undi BN
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Lang, 54, turut senada dan berpendapat pengundi akan memilih selepas meneliti calon.
Namun sebagai pengundi Permatang Pauh, beliau yakin PH akan dapat mengekalkan kuasanya di situ.
“Sebab Permatang Pauh ini memang kubu kuat PH, PKR. Susah sebenarnya mana-mana parti nak gugat. Lagipun ahli Parlimen Nurul Izzah Anwar ada juga selalu beli kuih saya di sini,” katanya.
Namun pendirian berbeza dikongsi pengundi Melayu dalam pulau yang menolak PH dan akan tetap mengundi BN.
Warga emas, Rodziah Mohd Ismail, 59, yang tinggal di pangsapuri di Sungai Pinang berkata beliau menolak DAP kerana mendakwa orang Melayu di negeri itu ditindas.
Isu utama dibangkitkannya melibatkan agihan bantuan yang didakwa tidak adil dan menguntungkan penerima dari kaum tertentu.
“Memang dari dulu undi BN, tak pernah undi PH, DAP sebab kita orang Melayu memang ditindas. Kita boleh tengok beza kalau bantuan, nampak berat sebelah. Pihak sana, (kaum Cina) dapat lebih banyak bantuan,” katanya.
Kalangan orang Melayu pula hanya mengundi PH kerana menerima manfaat daripada parti itu, dakwanya.
Pengundi Selangor berbelah bahagi
Di Selangor pula, pengundi yang ditemui juga mengambil pendirian untuk menilai calon terlebih dahulu namun mungkin akan tetap menyokong PH.
Mereka melihat pentadbiran kerajaan PH negeri tidak memberangsangkan terutama sekali apabila berdepan dengan pengurusan PBT, masalah air, kerosakan dan bencana banjir.
Suri rumah Rodziah Mat, 45, yang mengundi di Klang berkata isu tersebut mengundang kekecewaan pengundi seperti beliau.
“Kita berdepan dengan isu setempat (seperti) kutipan sampah. Kadang-kadang, berhari- hari tak kutip sampah sampai sampah berlonggok, dan kawasan ini jadi busuk.
“Kita dah buat aduan banyak kali tindakan itu perlahan. Tapi untuk undi saya tidak tahu lah nak undi BN ke tidak sebab mereka ini rasuah.
“Sebab itu saya kata saya tengok calon dulu, tapi kalau calon bukan Melayu saya akan tolak,” katanya.
Seorang lagi pengundi, Khairil Yahya, 59, yang tinggal di Ampang berkata beliau tetap akan mengundi Umno kerana menganggotai parti itu.

Walau begitu beliau mengakui Umno dan BN sukar menembusi kawasan Ampang atau mana- mana kawasan di Selangor.
“Saya ahli Umno pun rasa Umno akan susah nak menang. Sebab ahli Parlimen sini Zuraida Kamaruddin biarpun dia ada isu lompat parti di sini tapi dia sudah lama di sana, sokongannya masih ada.
“Dan PH juga ada sokongan juga. Jadi susah nak agak. Betullah ada isu pengurusan tapi semua itu kerajaan negeri boleh beri penjelasan,” katanya.
Mengulas sikap pengundi tersebut, penganalisis politik Azmil Tayeb berpendapat PH tetap berpeluang menang PRU15 sekiranya ramai pengundi termasuk pemilih Melayu keluar mengundi.
Tapi beliau berkata situasi Pulau Pinang dan Selangor berbeza kerana kedua-dua negeri itu merupakan kubu kuat PH.
Justeru, pensyarah Universiti Sains Malaysia itu percaya PH akan dapat mengekalkan kuasanya dalam PRU15 tapi dengan sokongan pengundi Melayu yang merosot.
“Walaupun pengundi Melayu PH yang menyokong kerana ada Bersatu dan Dr Mahathir Mohamad masa PRU14 tempoh hari tidak mengundi PH lagi, saya rasa PH akan tetap dapat mengekalkan kuasa mereka di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.
Jelas beliau, undi Melayu PH merosot kerana tiada lagi pengundi yang memilih gabungan itu sebagai tanda menolak bekas presiden Umno Najib Razak dan juga parti tersebut.
“Faktor ini sudah tidak relevan dan kebanyakan mereka pulang semula ke pangkuan Umno,” katanya.
Beliau berkata kawasan seperti Teluk Kumbar dan Balik Pulau di Pulau Pinang dijangka akan menunjukkan kemerosotan kerana isu dihadapi nelayan ekoran projek tambakan laut.
Jika di Selangor, PH berisiko kehilangan undi Melayu di kawasan seperti Sabak Bernam, Permatang dan Jeram yang dimenangi dengan majoriti tipis dalam PRU14.
“Jadi saya lihat mungkin Umno ada peluang untuk merampas semula kawasan ini,” katanya. – 31 Oktober, 2022.
Komen