‘Giant killers’ PRU15


G Manimaran

DALAM enam hari lagi penamaan calon akan menjelang tiba bagi melengkapkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Proses 60 minit yang singkat itu amat penting bagi mereka yang ingin mendaftarkan diri mereka sebagai calon.

Kesilapan kecil boleh menggugat kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya. Ia proses awal PRU15 yang hari pengundian akan berlangsung dua minggu kemudian.

Parti politik sudah mula mengumumkan barisan calon mereka. Sebahagian lagi masih belum melainkan gambaran awal mengenai kedudukan muka baharu dan wajah lama. Ada yang hendak meletakkan sehingga 70% muka baharu.

Melihat kepada senarai pengumuman setakat ini sebahagian besar pemimpin kanan parti terutama mereka yang menyandang jawatan utama dalam pentabiran termasuk barisan menteri, timbalan dan exco bakal dikekalkan dalam senarai persaingan.

Dua aspek yang sering menjadi perhatian menjelang hari penamaan calon. Pertama sejauh mana sesebuah parti akan dan bersedia untuk meletakkan wajah baharu.

Keduanya, berapa ramai muka “heavyweight” bakal dipertaruhkan untuk menjamin peluang kemenangan, sekali gus menggengam mandat bagi menguasai kerajaan.

Soalan yang kedua ini ada hubungan dengan kemungkinan wujud giant killer yang boleh mencetuskan kemenangan luas jangkaan. Bermakna calon underdog boleh membawa kejutan pada hari pengundian.

Pencapaian mengejutkan disaksikan dalam jumlah yang banyak satu dekad lalu ketika PRU12 pada 2008. PRU12 menyaksikan buat pertama kali lima negeri tumbang, jumlah terbanyak selepas PRU 1990 (Kelantan) dan 1999 (Kelantan dan Terengganu).

Selain lima negeri itu, ramai pemimpin kanan Kabinet dan menteri besar atau ketua menteri tumbang dalam percubaan mengekalkan kerusi masing-masing.

Semasa PRU 1974, yang pertama selepas peristiwa 13 Mei, 1969 dan susulan pembentukan Barisan Nasional (BN) bagi menggantikan Perikatan, di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein, gabungan itu yang menyertakan lebih 10 parti politik pembangkang ketika itu, PPP, PAS dan Gerakan, memenangi 90 kerusi, di Parlimen dan DUN, tanpa saingan atau seringkali disebut menang tanpa bertanding.

Ketika itu, banyak pemimpin kanan parti dan kerajaan diisytiharkan menang pada hari penamaan calon. Ia merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

PRU15, yang dilihat sebagai pilihan raya yang menarik dan memperlihatkan keuntikan dan kelainan yang tersendiri, diharap akan diwarnai dengan elemen giant killers.

Setakat ini beberapa pemimpin yang mempunyai status wakil rakyat mahu memainkan peranan giant killer. Mereka mahu mengukir sejarah dengan mencipta kemenangan luar biasa.

Ini termasuklah mantan naib presiden PKR dan penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin yang pada minggu lalu mengetengahkan kesediaannya untuk bersaing di Bagan Datuk, kerusi yang disandang Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno dan pengerusi BN.

Shamsul Iskandar pernah ditewaskan oleh  Rais Yasin dalam persaingan kerusi DUN semasa Pilihan Raya Negeri Melaka, November lalu. Dalam reaksinya ketika itu, Rais yang juga ketua Pemuda Umno Bahagian Tangga Batu berkata, “tiada istilah giant killer bagi calon kurang dikenali yang berjaya menewaskan calon heavyweight dalam PRN.” 

Katanya, apa yang penting ialah memenuhi keperluan pengundi.

Shamsul Iskandar merupakan antara pemimpin yang berpindah lokasi dalam gelanggang PRU15. Dalam senarai itu, termasuklah Presin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Anwar yang disahkan sebagai bakal calon kerusi Tambun, juga di Perak sudah pasti akan berhadapan dengan saingan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang menewaskan mantan menteri kewangan Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah pada 2018.

Selain Shamsul Iskandar, turut mahu meletakkan sasaran untuk menggantikan penyandang kerusi Bagan Datuk ialah Tawfik Dr Ismail, anak bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman dan pengasas Gerak Independent.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang antara nama dalam senarai giant killer ada mengemukakan saranan agar PH memberi laluan kepada Tawfik untuk mencipta sejarah sebagai giant killer di Bagan Datuk yang disandang Zahid sejak 1995, pertama kali beliau menyandang selepas mengalahkan Asha’ri Marsom dari Semangat 46 dalam PRU tahun itu.

Kit Siang juga pernah ditewaskan calon tidak terkenal. Jadi gelaran giant killer boleh dirangkul oleh mana-mana calon.

Justeru, terma giant killer bukan sesuatu yang luar biasa dalam pilihan raya. Banyak PRU pernah menyaksikan giant killer di kedua-dua pihak parti yang sedang memerintah dan juga pembangkang.

Istilah ini merujuk kepada kebolehan seseorang calon yang tidak popular dalam menewaskan atau mengetepikan calon popular lagi terkenal dalam arena politik.

Memandangkan PRU15 sudah pasti akan menjadi gelanggang yang paling menarik dalam sejarah, maka kemunculan giant killer dinantikan oleh semua.

Ia akan menambah warna dan pahit manis PRU15 yang turut akan “menurunkan” lebih 21 juta pengundi, dengan hampir tujuh juta adalah wajah baharu. – 30 Oktober, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen