GTA sukar menang 100 kerusi, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Pemerhati menjangkakan sukar untuk GTA pimpinan Dr Mahathir Mohamad menang 100 sasaran kerusi Parlimen PRU15 nanti jika tidak mendapat sokongan gabungan pembangkang Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2022.

MUSTAHIL bagi Gerakan Tanah Air (GTA) dapat menang 100 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika tidak mendapat sokongan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), kata pemerhati.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, GTA terpaksa berhadapan laluan sukar untuk menang jumlah kerusi itu kerana terpaksa bersaing dengan PN dan PH yang lebih mantap dan popular.

Pengerusi GTA dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak merahsiakan hasratnya untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) malah mengharapkan sokongan daripada PN atau PH.

Dr Mahathir, penyandang Parlimen Langkawi, berkata GTA bersama PN dan PH boleh menang sekurang-kurangnya 100 kerusi dalam PRU15 tetapi Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, masing-masing menolak kerjasama ini.

“Ia mustahil, jumlah (kerusi) itu terlalu besar untuk GTA,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar.

“Selain itu, GTA tidak cukup agresif untuk berdiri sama tinggi dengan PN dan PH. Jika ia bertanding, ia jauh di belakang pakatan pembangkang, tidak kurang juga BN.”

“GTA akan mendapat bahagian pengundi yang saksama. Walaupun ia cuba mendekati PN dan PH, ia terlalu lemah,” tambahnya.

Pada Khamis, Muhyiddin berkata PN selesa dengan barisan semasa untuk PRU15 pada 19 November ini dan tiada ruang untuk GTA.

“Tiada perbincangan. Bukan kita tidak mahu kerjasama, tetapi ia telah diputuskan untuk bergerak ke hadapan dengan apa yang telah diatur sejak awal,” kata Muhyiddin selepas mesyuarat majlis presiden PN di ibu pejabat Bersatu.

Sementara itu, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata penolakan itu tidak mengejutkan kerana gabungan itu melihat Dr Mahathir sebagai liabiliti.

“Namun, Dr Mahathir mahu bekerjasama dengan PH dan PN kerana beliau tahu sukar untuk bertanding sendirian.

“Walaupun begitu, sudah terlambat untuk GTA.

“PH dan PN telah memutuskan untuk bergerak ke hadapan. PKR tidak dapat percayakan GTA, terutamanya Dr Mahathir.

“PN, sebaliknya, melihat pakatan dengan GTA memberikan sedikit manfaat,” katanya.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Anwar menjelaskan yang beliau tidak akan bekerjasama dengan GTA melainkan Dr Mahathir menyokongnya sebagai perdana menteri, sekiranya gabungan itu menang.

Sementara itu, Dr Mahathir terus mengelak mengenai isu itu, beberapa kali berkata beliau tidak mahu jawatan itu lagi, tetapi akan pegang jawatan itu jika ia adalah kehendak rakyat yang mahukan beliau berbuat demikian.

Bagi Badrul Hisyam Ismail dari Iman Research, harapan Dr Mahathir untuk memenangi 100 kerusi mungkin kelihatan tidak masuk akal, tetapi masih awal untuk meramalkan apa yang akan dilakukan oleh pengundi pada PRU15.

Beliau berkata GTA mungkin kelihatan lemah, tetapi juga tiada jaminan pengundi akan menyokong BN kali ini.

“Ia adalah angka yang besar untuk GTA tetapi masih terlalu awal untuk diketahui. Kita akan lihat apa yang berlaku pada hari penamaan calon atau bila tempoh kempen bermula.

“Saya tidak fikir ia adalah mengenai BN yang kuat. Rakyat tidak berminat dengan Dr Mahathir lagi.

“Walaupun sukar untuk GTA, mari kita lihat apa yang berlaku semasa tempoh kempen,” katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata GTA memerlukan kekuatan daripada PH atau PN untuk berjaya dalam PRU15.

Bagaimanapun, beliau terkejut Muhyiddin menolak pelawaan Dr Mahathir.

“GTA bergantung kepada PH atau PN. Walaupun mereka bertanding di Langkawi, Kubang Pasu dan Jerlun ia bukan jaminan GTA boleh mempertahankan kerusi tersebut melainkan mereka bekerjasama dengan PH atau PN.

“Agak mengejutkan PN tidak mahu GTA sebagai rakan kongsi, kerana mereka pernah berada dalam parti bersama. Kini cuma tinggal GTA sahaja dan 100 kerusi hanyalah mimpi,” kata ahli akademik itu. – 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen