PENYANDANG kerusi Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berisiko bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa parti ekoran pertikaian kedudukan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) antara beliau dengan Larry Sng.
Larry mendakwa beliau masih presiden PBM, manakala Zuraida dilantik sebagai presiden baharu parti itu seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PBM pada 7 Oktober lalu.
Keputusan dibuat selepas mesyuarat berkenaan mengesahkan tujuh usul termasuk melantik Zuraida sebagai presiden PBM, yang diluluskan semasa Persidangan Agung Tahunan pada 1 Oktober.
Kelmarin, Larry yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau berkata keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Majlis Tertinggi PBM pada 7 Oktober dilaksanakan melampaui arahannya sebagai presiden parti.
Katanya mesyuarat tersebut diadakan serentak semasa pembentangan Belanjawan 2023 dan beliau dimaklumkan mengenai hasil mesyuarat selepas ianya selesai.
Larry, 43, juga menegaskan jawatan presiden PBM tidak pernah kosong untuk diisi oleh Zuraida.
“Jadi siapa yang akan tandatangan watikah pelantikan (calon PRU-15) Zuraida?
“Selagi isu siapa presiden yang sah belum selesai, Larry mungkin tidak akan tandatangan watikah untuk Zuraida bertanding atas tiket PBM,” kata penganalisis politik James Chin kepada The Malaysian Insight.
Chin bagaimanapun berkata, Larry dan Zuraida mungkin mencapai kata sepakat memandangkan hari penamaan calon semakin hampir, yang akan berlangsung 5 November ini.
Ditanya mengenai kemelut kepimpinan dalam PBM, Chin mengagak ia mungkin kerana Zuraida tidak dapat menerima syarat-syarat penyerahan kuasa parti yang berada di bawah pengaruh keluarga Larry sejak sedekad lalu.
Menurutnya menjadi amalan biasa ada syarat yang perlu dipenuhi oleh presiden baharu apabila berlaku peralihan kuasa dalam parti.
“Saya berpandangan beliau tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.”
Chin berkata pertikaian kuasa yang dialami PBM menjelang PRU15 adalah satu malapetaka bagi parti baharu itu.
“Hampir pasti PBM akan pupus jika pergelutan kuasa ini tidak diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Akademi Sains Prof Jayum Jawan percaya Sng berfikir dua kali untuk menyerahkan jawatan presiden kepada Zuraida.
“Mungkin beliau sedar sebagai presiden, dan jika beliau tanding pilihan raya kemudian menang, ini akan menjadi faktor penting dalam percaturan politik selepas PRU15.
“Kalau PBM boleh menang banyak kerusi, sudah tentu kuasa tawar-menawar akan lebih tinggi,” kata Jayum.
PBM lahir hasil penjenamaan semula Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang diasaskan bapa Larry, Sng Chee Hua pada 2012.
Larry bertanding di kerusi Parlimen Lubok Antu pada pilihan raya umum 2013 atas tiket SWP tetapi tewas.
Beliau menang sebagai calon bebas di kerusi Julau pada PRU14 dan selepas itu masuk PKR.
Khamis lalu, Larry menggantung dua orang kuat PBM yang dikaitkan dengan Zuraida, iaitu setiausaha agung parti itu Nor Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Larry berkata mereka digantung berhubung mesyuarat majlis tertinggi parti pada 7 Oktober, yang mengesahkan kedudukan Zuraida sebagai presiden PBM. Sng juga berkata rekod Pendaftar Pertubuhan (RoS) menunjukkan beliau masih diiktiraf sebagai presiden yang sah.
Nor Hizwan dalam kenyataan balasnya semalam berkata Larry sudah beberapa kali mengakui kedudukan Zuraida sebagai presiden PBM yang baharu dan tindakannya mempertikaikan kedudukan itu sekarang mengelirukan.
Nor Hizwan mengulangi gesaan timbalan presiden Haniza Talha supaya Larry hadir ke mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi PBM pada 3 November ini untuk menyelesaikan kekeliruan mengenai urusan pentadbiran parti.
Perselisihan kedudukan presiden PBM dikatakan timbul selepas Zuraida berkata parti itu tidak akan meletakkan calon di Sarawak.
Zuraida menyertai PBM pada 9 Jun selepas keluar daripada Bersatu pada hujung Mei lalu. – 29 Oktober, 2022.
Komen