Accin hanya akan sokong parti yang tolak 'fahaman sekular'


Radzi Razak Melati A. Jalil

Presiden Accin Jamaluddin Samsudin ketika bercakap dalam seminar yang diadakan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 di Universiti Malaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Mac, 2018. 

GABUNGAN Perikatan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (Accin) hanya akan menyokong parti yang menentang fahaman sekular seperti liberalisme dan pluralisme dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Jamaluddin Samsudin berkata, Accin memutuskan demikian memandangkan fahaman sekular tersebut mengugat keharmonian dalam negara.

“Isu (liberalisme dan pluralisme) ada kaitan dengan akidah dan dia menjejaskan keharmonian dan persefahaman rakyat. 

“Perlu ada tindakan dan perhatian daripada pimpinan politik,” katanya selepas membacakan deklarasi 10 perkara yang dirumuskan oleh gabungan NGO Islam tersebut hari ini.

Jamaluddin berkata amat penting bagi parti politik, terutamanya yang bakal memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14, menangani dan melihat masalah berkaitan akidah.

Tambahnya, kumpulan NGO Islam itu akan menyampaikan deklarasi mereka kepada pimpinan dan parti-parti politik, bagi menggesa tindakan lanjut.

“Kita akan uar-uarkan juga kalau parti politik sokong deklarasi ini, kita akan sokong dia,” katanya lagi kepada pemberita di Universiti Malaya hari ini.

Deklarasi itu turut menggariskan gesaan supaya kerajaan membanteras penularan fahaman salah yang berselindung di sebalik topeng liberalisme dan pluralisme agama.

“Sebarang unsur atau usaha yang berkecenderungan untuk mengubah dan menggugat keharmonian ini, termasuklah dengan mempelopori gejala murtad, penyebaran Kristian oleh kelompok evangelis kepada orang Islam serta kemasukan ekstremis agama, Buddha, Hindu dan lain-lain perlulah ditangani semaksimumnya.

“Fahaman-fahaman ini boleh menggugat akidah dan keyakinan umat islam terhadap agama mereka sendiri, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang rapuh keimanan dan cetek kefahaman agama. 

“Lebih parah, fahaman-fahaman ini boleh menjerumuskan seseorang kepada sikap skeptik terhadap Islam yang akhirnya menjurus kepada gejala murtad tanpa sedar,” kata Jamaluddin.

Selain itu ACCIN juga menggesa parti-parti politik untuk mengadakan debat manifesto di peringkat nasional, menghormati undang-undang sewaktu berkempen serta mengekalkan konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Ia turut menyatakan gesaan agar memperkasakan ulama, para ilmuwan dan cerdik pandai yang boleh berperanan memberikan nasihat yang berguna kepada pemerintah dan masyarakat awam.

Resolusi tersebut dirumuskan dalam Seminar Kepimpinan Negara Kearah Kecemerlangan Masyarakat yang diadakan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 di Universiti Malaya hari ini.

Turut menyartai seminar tersebut adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Ulama’ Malaysia (Pum), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Pertubuhan Ikram (Ikram). – 3 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen