Calon profesional boleh bantu PKR raih undi, kata pemerhati


Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim umum enam personaliti daripada pelbagai latar belakang sebagai calon baharu mewakili parti itu pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2022.

KEPUTUSAN PKR meletakkan personaliti daripada pelbagai latar belakang adalah strategi yang dapat melonjakkan peluang mereka menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis politik.

Mereka berkata walaupun ada pemimpin parti tertentu yang mungkin rasa tidak puas hati, membawa beberapa personaliti luar parti mungkin membolehkan PKR dapat menarik minat pengundi dengan lebih baik.

Selain itu, kata mereka meletakkan calon yang tidak dikenali daripada pelbagai latar belakang, terutama golongan profesional mungkin antara strategi PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk menang PRU15.

“Ia dilaksanakan mungkin selepas melihat corak mengundi semasa, terutama di kawasan bandar dan separa bandar, yang lebih suka memandang kepada calon itu sendiri berbanding faktor lain,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.

“Kajian dilakukan Ilham Centre mendapati pengundi sekarang mahu melihat kepada kemampuan calon yang bertanding dalam kalangan parti,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata meletakkan calon tidak dikenali sebagai muka baharu untuk PRU15 menunjukkan kesanggupan PKR menerima calon yang layak di luar parti.

“Ia strategi untuk menunjukkan PKR terbuka kepada calon yang berkelayakan, dan bukan hanya mencalonkan ahli mereka saja.

“Ia bukan pelik untuk PKR, kerana semua parti mahu menunjukkan mereka boleh mendapat sokongan ramai individu terkemuka,” katanya.

Tunku Mohar berkata setakat ini Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan ahli akademik yang terkenal, individu kurang upaya, tokoh agama dan bekas penjawat awam kanan sebagai calon luar.

Barisan calon ini mempunyai pengaruh daripada segmen pengundi yang berbeza, katanya.

Pada Rabu, Anwar mengumumkan PKR akan meletakkan enam personaliti daripada pelbagai latar belakang dan seorang mahasiswa sebagai calon baharu mewakili parti itu pada PRU15.

Calon terbabit adalah bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Zainal Azman Abu Seman, yang akan bertanding di Perak.

Selain itu, bekas naib canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan akan bertanding di Pahang, Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga tokoh profesional kelainan upaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang akan bertanding di Wilayah Persekutuan.

Manakala bekas yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang juga anak bekas mursyidul am PAS Nik Omar Nik Aziz akan bertanding di Perak, bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop (Selangor), bekas presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha (Negeri Sembilan), dan calon muda berusia 28 tahun yang juga doktor falsafah di Universiti Malaya, Fathin Amelina Fazlie akan bertanding di Perlis.

Peluang kemenangan

Walaupun masih terlalu awal untuk diramal, Tunku Mohar berpandangan calon ini mempunyai peluang menang lebih baik jika dibenarkan bertanding di kerusi selamat.

“Terlalu awal untuk diramal. Mereka mungkin ada peluang lebih tinggi untuk menang jika diletakkan di kerusi selamat PKR,” katanya.

Sementara itu, Hisommudin berkata peluang tujuh individu berprofil tinggi itu turut bergantung kepada calon parti lain.

“Jika calon parti lain lebih baik atau sama bagus, ia akan memberikan persaingan sengit untuk menentukan keputusan,” katanya.

Bagaimanapun, Hisommudin percaya pasti ada dalam kalangan aktivis dan ahli parti yang tidak berpuas hati dengan pencalonan individu berkenaan.

Katanya, parti perlu meyakinkan kumpulan ini bagi memastikan kaedah yang dilaksanakan itu memberikan hasil terbaik.

“Jika mereka tidak diyakinkan dengan strategi baharu ini, yang mungkin memberi kemenangan kepada parti, maka ia akan mencipta elemen sabotaj atau protes terhadap calon profesional.

“Ini kerana sepanjang tempoh ini, orang parti akan ambil banyak tindakan, walaupun untuk pemilihan parti, akan ada yang tidak puas hati dan melihat ia sebagai peluang menjadi calon.

“Berapa ramai yang sudah membuat pelaburan untuk memastikan kemenangan dalam pemilihan parti, tetapi bila mereka menang parti pilih individu luar parti pula,” kata Hisommudin.

Hisommudin berkata adalah munasabah untuk wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti.

“Bila calon luar daripada rangka kerja parti menang, sukar untuk mereka bekerjasama dengan struktur parti. Ini masalah besar jika kumpulan profesional ini menang,” katanya. – 29 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen