SPRM siasat Tommy Thomas, kata laporan


Laporan Utusan Malaysia memetik sumber menyebut SPRM kini dalam peringkat kajian terhadap laporan pasukan petugas khas berkenaan buku 'My Story: Justice In The Wilderness' tulisan bekas peguam negara Tommy Thomas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas, lapor Utusan Malaysia.

Laporan memetik sumber itu menyebut SPRM kini dalam peringkat kajian terhadap laporan pasukan petugas khas berkenaan buku ‘My Story: Justice In The Wilderness’ tulisan Thomas.

Siasatan tertumpu kepada tujuh isu yang berada di bawah Akta SPRM 2009 termasuk dakwaan salah guna kuasa ketika Tommy memegang jawatan peguam negara, kata sumber dipetik Utusan.

Dalam laporannya, pasukan petugas khas mendapati Thomas mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.

Sembilan ele­men kemungkinan berlaku salah laku oleh bekas peguam negara itu turut disenaraikan dalam laporan setebal 822 muka surat itu.

Antaranya campur tangan Thomas dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia ke­­rajaan, menyalahguna kuasa melantik peguam luar untuk me­wakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.

Beliau juga didakwa tidak mematuhi peraturan dan pe­­keliling kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bu­ngah, Pulau Pinang.

Thomas semalam dilaporkan telah memfailkan saman pemula terhadap pasukan petugask khas itu dan kerajaan, mendakwa laporan siasatan berhubung kandungan memoirnya tidak sah dan melanggar undang-undang.

Thomas, bekas peguam negara semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah menamakan pengerusi pasukan petugas khas itu J C Fong, serta ahlinya Hashim Paijan, Junaidah Kamarruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Surip sebagai defendan.

Thomas juga memohon deklarasi bahawa laporan bertajuk “Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ yang dikeluarkan pasukan petugas itu ialah dokumen tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Buku tulisan Thomas, yang diterbitkan pada 30 Januari tahun lepas, mencetus pelbagai kontroversi sehingga kira-kira 244 laporan polis dibuat oleh pelbagai individu dan kumpulan terhadapnya.

Pada 8 Oktober 2021, Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan yang dibuat Thomas dalam memoirnya.

Pasukan yang dibentuk sebagai badan pencari fakta untuk menjalankan semakan dan analisis mendalam terhadap keseluruhan buku Thomas, dan telah mengadakan tidak kurang 37 sesi perbincangan, antara lain untuk meneliti sama ada penerbitan buku itu menyalahi atau melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan yang terpakai kepada Pejabat Peguam Negara. – 28 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen