PERIKATAN Nasional (PN) tidak juga akan berdepan jalan mudah sekiranya menurunkan calon PAS untuk merebut kerusi Parlimen Bangi, atau sebelumnya Serdang, yang dimenangi DAP sejak tiga penggal lalu, kata penyelidik Ilham Centre.
Kawasan Parlimen Bangi dibentuk dengan menggabungkan sebahagian kawasan Serdang dan Hulu Langat hasil proses persempadanan semula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata selain sukar mendapatkan sokongan penuh pengundi Melayu, PN juga dilihat tidak berupaya menyaingi DAP dalam merebut undi bukan Melayu.
“Di atas kertas peluang PN agak tipis di Bangi, tanpa sokongan bukan Melayu secara menyeluruh agak mustahil untuk PN menang kerusi ini,” kata Hisomuddin kepada The Malaysian Insight.
Bangi sebuah kerusi campuran yang mempunyai lebih 300,000 pengundi selepas pendaftaran pengundi automatik, dengan jumlah pengundi Melayu kira-kira 51% dan bakinya bukan Melayu. Pada PRU14, jumlah pengundi berdaftarnya 178,790.
Ia mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kajang, Balakong dan Sungai Ramal atau sebelumnya dikenali sebagai Bangi. Kerusi DUN Bangi pernah dua kali diwakili PAS pada 2008 dan 2013.
Pada Selasa, PN melancarkan jentera pilihan raya bagi kawasan Bangi dengan nada kempen yang menjurus untuk menarik sokongan pengundi Melayu.
Hisomuddin berpendapat PN perlu menunjukkan bagaimana ia akan mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu di Bangi.
“Undi Melayu itu jelas boleh jadi tentangan sengit kalau berlaku pertandingan tiga penjuru. Undi Melayu tertumpu pada Barisan Nasional (BN) dan PN tetapi PH akan curi sedikit, jadi undi Melayu terpecah tiga.
“Undi bukan Melayu lebih kepada PH berbanding gabungan lain. Dalam konteks ini, ia akan memberikan kelebihan kepada PH berbanding PAS dan PN,” katanya.

Semalam, DAP mengumumkan peguam Syahredzan Johan, yang juga setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, sebagai calonnya di Bangi.
Hisomuddin melihat DAP mampu mengekalkan penguasaan di kawasan Parlimen ini dengan meletakkan calon Melayu.
Bangi sebelum ini diwakili Ong Kian Ming, yang juga menyandang Serdang selepas PRU13.
“Kerusi ini komposisi bukan Melayu termasuk dalam kategori tinggi, menjadikan ia kerusi boleh menang bagi DAP.
“Pertukaran Ong kepada Syahredzan menunjukkan DAP melihat kawasan ini berpotensi menang dan dengan pertukaran itu tak jejaskan peluang mereka di Bangi
“Calon Melayu boleh tambah sokongan undi Melayu dan itu diharap menyumbang kerusi untuk kekal milik DAP di Bangi, itu yang saya boleh baca,” kata Hisomuddin.
PN pula dijangka meletakkan calon daripada PAS bertanding di Bangi. Antara nama yang dijangka akan dicalonkan ialah Yang diPertua PAS Bangi Mohd Shafie Ngah, yang juga ketua PN Bangi.
Beliau kalah kerusi Parlimen pada PRU14 kepada Ong tetapi pernah jadi Adun Bangi yang dimenanginya pada PRU13.
Beberapa pengundi ditemui The Malaysian Insight minggu ini, terutama dalam kelompok pengundi bukan Melayu, membayangkan mereka menolak PAS.
R Geganathan, 46, berkata pentadbiran PAS di beberapa negeri tidak menunjukkan parti itu mesra kepada pengundi bukan Islam.
Dasar PAS, katanya menunjukkan seolah-olah parti itu tidak meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini.
“Kita tengok bila mereka perintah, contohnya tidak ada lagi nombor ekor 4D… PAS kacau semua perkara, konsert pun tak boleh.
“Mereka lupa, negara ini rakyatnya berbilang bangsa. PAS, tak bolehlah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang mengaku mengundi PH pada PRU14 bagaimanapun sekarang berkata sedang menilai sama ada memilih antara BN dan PH dalam PRU15 pada 19 November nanti.
“Calon PAS saya akan tolak,” katanya.
Aiman Hakim, 29, pula melihat sepanjang Ong jadi wakil rakyat, kawasan petempatannya banyak mengalami penambahbaikan.

Malah, dia juga sudah membuat keputusan untuk mengekalkan PH mewakili kawasan Parlimen Bangi.
“Sepanjang parti ini menjaga Bangi, banyak perubahan yang berlaku dan saya mengharapkan (wakil rakyat akan datang) faham kehendak penduduk setempat,” katanya.
R. Ramesh, 39, juga menolak untuk memilih PN sekiranya gabungan itu meletakkan calon PAS.
Dia juga khuatir disebabkan PAS, Bersatu bakal menerima tempias penolakan pengundi bukan Melayu kepada PN.
“Silap-silap Bersatu pun bungkus sebab orang tak mahu sokong PAS,” katanya.
Ramesh bagaimanapun mengakui pada PRU15 dia sudah membuat keputusan untuk memilih BN, kerana yakin gabungan itu mampu menawarkan kestabilan kepada pentadbiran negara.
“Saya undi PH pada PRU14 tetapi kita nampak sejak itu kerajaan menjadi tidak stabil, macam-macam perkara berlaku dalam satu penggal.
“Untuk kali ini saya mahu undi BN pula, negara kita perlukan kestabilan, kalau ikut pandangan saya BN lebih sesuai,” katanya.
Sementara itu, Shafie yang ditemui selepas pelancaran jentera PN Parlimen Bangi baru-baru ini pula melihat PN ada kelebihan apabila DAP menurunkan calon Melayu.
“Ada ancaman dan bukan ancaman kepada PN. Calon yang dicampak kepada awam itu orang DAP, rata-rata orang sini tak suka DAP.
“Ini kelebihan kepada kami. Mungkin strategi mereka nak buat (apabila letak calon Melayu) adalah ujian kepada masyarakat Malaysia agar percaya dengan DAP bukan setakat di Bangi tetapi di seluruh negara.
“Ia akan menjadi kelebihan kepada kami,” katanya. – 28 Oktober, 2022.
Komen