BEKAS peguam negara Tommy Thomas memfailkan saman terhadap kerajaan dan pasukan petugas khas (PPK) yang menyiasat bukunya.
Beliau berkata penubuhan PPK dan laporan mengenai memoirnya “My Story: Justice In the Wilderness”, melanggar undang-undang dan hak Perlembagaannya.
Thomas, bekas peguam negara semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menamakan pengerusi PPK J C Fong, ahlinya Hashim Paijan, Junaidah Kamarruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Surip sebagai defendan.
Menurut portal berita Free Malaysia Today, Thomas mahukan pengisytiharan bahawa PPK adalah badan yang menyalahi undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan, juga dinamakan sebagai defendan.
Thomas juga mahukan pengisytiharan yang laporan dikatakan bertajuk “Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’” yang dikeluarkan oleh PPK adalah dokumen yang tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.
Laporan PPK yang menyiasat 19 dakwaan dibuat dalam memoir itu mendedahkan Thomas dalam surat bertarikh 5 Januari kepada pengerusi menyatakan dengan tegas beliau tidak akan bekerjasama atau mengambil bahagian dalam prosiding PPK itu.
PPK itu berkata Thomas juga mempersoalkan penubuhan dan kesahihannya.
Buku yang diterbitkan pada 30 Januari, menimbulkan kekecohan orang ramai mengakibatkan kira-kira 244 laporan polis dibuat oleh pelbagai individu dan kumpulan terhadap Thomas dan buku itu.
PPK yang dibentuk sebagai badan pencari fakta untuk menjalankan semakan dan analisis mendalam terhadap keseluruhan buku, mengadakan tidak kurang 37 sesi perbincangan, antara lain untuk mengkaji sama ada penerbitan buku itu berpotensi melanggar atau melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan yang terpakai kepada pejabat peguam negara.
Ia juga untuk menentukan sama ada buku itu mendedahkan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pengarang, pelanggaran etika profesional atau kelakuan olehnya.
Perdana Menteri Sementara Ismail Sabri Yaakob berkata berdasarkan siasatan dijalankan setakat ini, Thomas dipercayai melakukan empat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyahklasifikasi dan mendedahkan kepada umum laporan disediakan oleh PPK itu, yang menyiasat dakwaan yang dibuat dalam buku itu. – 27 Oktober, 2022.
Komen