Cadangan Pakatan lantik dua TPM tidak sama dengan BN, kata pemimpin DAP


Ravin Palanisamy

Cadangan PH melantik TPM dari Malaysia Timur adalah untuk memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak setanding dengan kemajuan Semenanjung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2022.

CADANGAN Pakatan Harapan (PH) untuk melantik dua timbalan perdana menteri, dengan seorang wakil dari Malaysia Timur, berbeza dengan cadangan ditawarkan Barisan Nasional (BN), kata penyandang ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

Yii berkata cadangan PH untuk mempunyai timbalan perdana menteri dari Malaysia Timur (TPM II) adalah untuk memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak setanding dengan kemajuan Semenanjung.

“Tawaran PH mewujudkan jawatan TPM II bagi Malaysia Timur tidak sama tujuannya sebagaimana dicadangan oleh BN untuk mewujudkan 3 jawatan TPM.

“Jawatan TPM II bukanlah tawaran semberono kepada parti parti politik di Malaysia Timur untuk membentuk Kerajaan Persekutuan tetapi polisi bagi memakmurkan rakyat Sabah dan Sarawak memperolehi kemajuan yang setara dengan penduduk di Semenanjung,” kata ketua Pemuda PH itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim pada Ahad berkata gabungan itu mengekalkan cadangannya untuk melantik dua timbalan perdana menteri jika gabungan itu diundi untuk memerintah pada pilihan raya umum bulan depan.

Anwar berkata akan ada seorang timbalan perdana menteri (TPM) dari Semenanjung, dan seorang bagi mewakili Sabah dan Sarawak.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam pada itu berkata gabungan itu akan mempunyai tiga TPM sekiranya memenangi PRU15.

Yii juga berkata tawaran untuk memiliki TPM II adalah untuk kemajuan Sabah dan Sarawak, yang didakwanya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jawatan TPM II yang dijanjikan oleh PH sejak era Pakatan Rakyat sebelum ini sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim kelmarin adalah bagi tujuan mempercepatkan kemajuan di Sabah dan Sarawak,” kata ketua Pemuda DAP itu.

“Jawatan itu juga bersesuian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang diluluskan tahun ini dan memberi taraf sama rata kepada negeri Sabah, Sarawak serta Semenanjung.

“Peranan TPM II dalam hal ini adalah untuk memastikan lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan serta memantau pembangunan yang terbaik untuk rakyat di kedua dua negeri,” tambahnya.

Yii berpendapat Sabah dan Sarawak sepatutnya mempunyai infrastruktur bertaraf dunia untuk merebut peluang yang muncul daripada pembangunan ibu negara baharu Indonesia Nusantara di Kalimantan Timur.

“Tambahan pula kedudukan Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan yang bakal dimajukan secara besar besaran oleh pemerintah negara jiran kerana ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara akan dipindahkan ke sana.

“Sehubungan itu, seharusnya Sabah dan Sarawak mempunyai infrastruktur berkelas dunia dan boleh menerima limpahan kemakmuran yang bakal dibawa oleh negara kuasa ekonomi ke-5 besar di dunia sebelum tahun 2030 berkenaan,” katanya.

Pentadbiran Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan pada 2019 akan membina ibu negara baharu, Nusantara, di timur Kalimantan.

Projek mega itu dijangka siap pada 2045.

Unjuran oleh Price Waterhouse Coopers menjadikan Indonesia sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia menjelang 2030, dari segi PPP, di belakang China, India, AS dan Jepun. – 27 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen