APABILA berlaku kontroversi mengenai muka depan The Star hujung minggu lalu, Perkasa menjadi pihak paling kuat berkempen menggesa akhbar itu digantung.
Apabila terdapat bantahan terhadap karikatur Presiden PAS Hadi Awang dalam Nanyang Siang Pau pada April, Jaringan Muslimin Pulau Pinang menyerang akhbar berbahasa Cina itu.
Apabila Bersih turun untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil, Gerakan Merah Malaysia mengetuai secara agresif gerakan menentangnya.
Selamat datang ke Malaysia baru, tempat di mana begitu banyaknya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu ditubuhkan yang kononnya untuk mempertahankan hak Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.
Kumpulan ini mempunyai beberapa persamaan: mengancam dan menakutkan pihak lawan agar berdiam diri; nampaknya dibiayai; mendakwa mempunyai ramai ahli dan penyokong tetapi biasanya mempunyai kesukaran membuktikannya; tidak takut kepada pihak polis malah mendapat liputan yang baik dalam media arus perdana. Dan, sebahagian besar daripadanya penyokong pentadbiran Najib Razak.
Bilangannya meningkat dengan ketara dalam tempoh 12 bulan lalu dan membangkitkan hal kaum dan agama yang menjadi satu daripada isu utama dalam PRU14, dijangkakan bilangan NGO Melayu ini terus berkembang dan berlaku peningkatan ancaman terhadap pihak pembangkang serta bukan Islam yang mencabar status quo.
Mejar Razali Zakaria daripada Gerakan Memartabat Pejuang Negara berkata: “Kita mempertahankan pejuang yang berada di landasan nasionalisme seperti contoh perdana menteri dihina, kita akan mempertahankan.
Kumpulan itu yang ditubuhkan sebagai usaha memartabatkan negara itu mendakwa mempunyai keahlian dianggar seramai 100,000.
Penganalisis politik percaya kumpulan masyarakat sivil ini akan melancarkan perang proksi bagi pihak parti politik tertentu menjelang pilihan raya akan datang.
Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, “Kebanyakan NGO ini mengambil kesempatan dengan menggunakan kelemahan masyarakat Malaysia.
“Apa yang paling membuatkan rakyat Malaysia cepat melatah ia agama dan perkauman. Ia menjadi yang selalu dimainkan mereka,” katanya.
Penganalisis politik yang pernah membuat kajian mengenai NGO berkata, terdapat lebih kurang 80,000 yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan angka itu dijangka semakin meningkat.
“80,000 ini mewakili semua NGO dan ia statistik pada lima tahun lalu dan saya yakin jumlahnya kini bertambah. Sebagai negara demokratik, beginilah cara ia berfungsi dan kita tak boleh hendak menghalang NGO ini dan bukan satu kesalahan.”
Tetapi apabila ditanya adakah sesetengah kumpulan NGO mempunyai kaitan dengan parti politik, penganalisis politik itu tidak dapat memastikan hal tersebut namun tidak menolak kebanyakannya terkeluar daripada landasan mereka.
“Kerajaan memang mengalakkan penubuhan NGO kerana ia dianggap sebagai parti ketiga kerajaan. Sebenarnya NGO mempunyai peranan dan tujuan yang baik untuk kerajaan dan masyarakat. Ia boleh memberi input membela dan menyuarakan sesuatu isu. Kita boleh kata ada NGO wujud kerana ia bertindak sebagai pembela kumpulan tertentu.
“Namun ada sesetengah NGO yang dilihat bertindak lebih daripada skop tanggungjawab mereka. Sebagai contoh, ada NGO persatuan penyakit kencing manis tetapi mereka bercakap mengenai soal politik,” katanya.
Menurut beliau, tindakan kumpulan terbabit yang cuba mengeruhkan suasana juga dilihat tidak mencerminkan realiti sebenar kehidupan rakyat.
Katanya, banyak lagi isu yang boleh diperjuangkan kumpulan terbabit seperti peningkatan kos sara hidup, barangan asas naik dan kadar pengangguran yang semakin meningkat.
“Kadang-kala kita pun tidak pasti sama ada mereka benar-benar sebilangan kaum Melayu.
“Tapi kita kita tidak boleh halang kalau mereka nak buat laporan polis sebab itu demokrasi cuma yang kita boleh persoalkan kewajaran tindakan mereka.”
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata kebangkitan NGO pro Melayu yang ada berdasarkan teori gerakan sosial.
Jelasnya, menerusi kajian ramai sarjana berdapat wujudnya suasana dan konsep yang dikenali sebagai “political opportunity structure” yang mencetuskan gerakan sosial.
“Maksudnya sistem politik parti Umno mempunyai perjuangan memartabatkan orang Melayu. Dengan intipati perjuangan orang Melayu gerakan sosial yang tercetus daripada ideologi parti lalu tertubuh NGO Melayu seperti jaringan Melayu,” kata pensyarah politik Universiti Malaya itu.
Katanya lagi berdasarkan konsep sama, ia tidak terhad kepada Umno sahaja kerana turut membabitkan parti lain seperti perjuangan PAS yang melahirkan NGO Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi).
Malah pensyarah itu berpendapat peranan NGO tersebut turut dijadikan sebagai penggerak ideologi parti iaitu sebagai proksi parti secara senyap kerana jika terlalu terbuka ia akan menguris rakan komponen parti.
“Satu lagi faktor kewujudan ialah apabila masyarakat tidak percaya parti mereka dapat memperjuangkan agenda asal parti tersebut kerana hambatan tertentu.
“Seperti hendak jaga hubungan dengan parti komponen. Ini dapat dilihat dapat penubuhan NGO seperti Perkasa oleh Ibrahim Ali.
Pada masa sama beliau tidak menolak ada sesetengah NGO pro Melayu mempunyai hubungan langsung dengan parti politik tertentu.
Berikut senarai lima NGO kumpulan pendesak Melayu.
* Gerakan Merah Malaysia (GNGMM)
Ia lebih dikenali sebagai kumpulan anti Bersih dan mula aktif sejak empat tahun lalu. Pengerusinya Jamal Yunos mendakwa mempunyai 400 NGO di bawah GNGMM
dan sekitar 200 bagi Gabungan NGO Selangor.
GNGMM juga merupakan pengerak utama Perhimpunan Baju Merah tahun lalu. Manakala Gabungan NGO Selangor mencetuskan kontroversi dengan beberapa siri protesnya terhadap pentadbiran Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
* Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN)
Ia mendakwa bergerak aktif sejak lapan tahun lalu dan diketuai Mejar Razali Zakaria selaku presiden dengan keahlian seramai 100 ribu orang.
Objektifnya adalah untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan bangsa Melayu di Malaysia dan pernah terbabit dengan Perhimpunan Baju Merah iaitu perhimpunan anti Bersih.
Terbaru, GMPN mendesak penerbit filem David Teo memohon maaf secara terbuka kerana didakwa bersikap kurang ajar dalam insiden lempang pada dialong TN50 perdana menteri bersama penggiat artis pada 18 Mei lalu.
* Pertubuhan Pembela Nasib Melayu
NGO ini juga dikenali sebagai “Gerakan Merah” diasaskan Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju.
Pemimpin Gerakan Merah ini dahulunya pernah mencetuskan kontroversi kerana melakukan senaman punggung di hadapan rumah Ambiga Sreenavasan ketika peguam itu menjadi pengerusi Bersih 2.0 pada 2012.
Matlamat NGO itu adalah sama dengan Gerakan Merah Malaysia iaitu sebagai kumpulan anti Bersih namun kedua presiden Gerakan Merah dan pro Umno itu tidak sebulu.
Sama seperti GMPN, NGO itu juga membuat laporan polis kerana mendakwa penerbit filem David Teo biadap di hadapan perdana menteri.
* Perkasa
Antara peneraju kumpulan pendesak Melayu di Malaysia dan diketuai Ibrahim Ali dengan jumlah keahlian lebih 700,000.
Mula ditubuhkan pada 2008, Perkasa memperjuangkan hak kaum Melayu dan Bumiputra termasuk mempertahankan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Terbaru, NGO itu melancarkan perang terhadap komponen BN iaitu MIC dan MCA.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali, berkata: “Perkasa mahu menjadi suara umat Islam, Melayu dan Bumiputera ... menegakkan Persekutuan Perlembagaan, memberi kuasa kepada rakyat Malaysia dan di atas semua, melindungi institusi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan negara.”
* Jaringan Muslimin Pulau Pinang
Terdapat sembilan NGO di bawah Jaringan Muslimin Pulau Pinang yang diketuai Mohamed Hafiz Mohamad Nordin. Ia lebih dikenali sebagai pro PAS dan Umno.
Sebelum ini mereka melakukan protes ke atas akhbar bahasa Cina Nanyang Siang Pau yang didakwa biadap kerana menyiarkan satira kartun monyet mempersendakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada April lalu.
Terbaru, satu lagi insiden tampar selepas kejadian pelawak Sulaiman Yassin dan penerbit filem David Teo berlaku.
Ia membabitkan kumpulan NGO itu dan pegawai penerangan menteri Pulau Pinang Zaidi Ahmad.
Insiden itu berlaku sehari sebelum umat Islam berpuasa apabila kumpulan terbabit mengadakan protes membantah campur tangan kerajaan negeri dalam isu fatwa. – 1 Jun, 2017.
Komen