Perikatan tidak benar individu bermasalah jadi calonnya, kata Hamzah


Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainudin berkata mereka akan menyemak latar belakang kesemua bakal calon bagi PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan membenarkan individu bermasalah menjadi calon gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin.

Katanya PN akan menyemak latar belakang kesemua bakal calon bagi memastikan mereka bukan sahaja bebas daripada masalah seperti pernah diheret ke mahkamah malah bersih daripada rekod jenayah.

“Jadi sebab itulah kita hendak benar-benar calon kita ini bersih dan kita sudahpun ambil nama-nama tersebut untuk dikemukakan kepada agensi-agensi tertentu untuk menyemak latar belakang mereka.

“Agensi seperi LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan beberapa agensi lain diperlukan untuk memastikan calon kita bersih,” katanya. 

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis National Forensic Science Symposium For Law Enforcement di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras.

Hamzah berkata calon yang bersih dan bakal menjadi Ahli Parlimen menjadi penentu kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara dihormati serta stabil.

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRU15 perlu menjalani tapisan termasuk dengan jabatan agama sebelum dibenarkan bertanding.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata saringan dengan jabatan agama yang julung kali diadakan itu bagi memastikan pemilihan calon BN lebih teliti dan mereka tidak terlibat dengan pelbagai isu syariah termasuk pemberian nafkah.  – Bernama, 26 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen