Perikatan guna sentimen kaum, agama hadapi DAP di Bangi


Mohd Farhan Darwis

Ketua PN Bangi Mohd Shafie Ngah menyifatkan Syahredzan Johan sebagai 'tali barut DAP' dan meminta jentera berkempen menyebarkannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Oktober, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) dilihat menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menghadapi DAP di kawasan Parlimen Bangi apabila mula menyerang peguam Syahredzan Johan yang disebut-sebut akan dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada majlis pelancaran jentera PN di Bangi malam tadi, gabungan itu antara lain mensasarkan serangan ke atas Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada Lim Kit Siang.

Ketua PN Bangi Mohd Shafie Ngah dalam ucapannya menyifatkan Syahredzan sebagai “tali barut DAP” dan meminta jentera PN berkempen dengan menyebarkan perkara itu.

“Yang akan ditampilkan ke Bangi kalau itu calonnya, itu adalah tali barut DAP yang sepanjang masa hidupnya menjadi pembantu kuat kepada Lim Kit Siang 

“Bahan yang paling besar kena pasak di minda dan bahan bawa turun ke masyarakat awam adalah inilah tali barut DAP yang akan dipergunakan semahu-mahunya untuk mengaburi mata kita,” kata Shafie, yang juga Yang di-Pertua PAS Kawasan Bangi.

Beliau juga menyifatkan DAP cuba mengaburi masyarakat terutamanya pengundi Melayu apabila meletakkan calon Melayu bertanding di Bangi, sebuah kawasan campuran yang hampir sekata pecahan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

“Mereka dah cuba di beberapa tempat dan mereka menang bahkan di semua kerusi mereka bertanding, mereka akan mengaburi mata orang Melayu… DAP bukan musuh bagi bangsa Malaysia.

“Usaha mereka meletakkan calon Melayu di tempat strategik telah berjaya dan akan diteruskan bagi mengaburi mata bangsa Malaysia (bahawa) DAP bukan musuh bangsa Malaysia,” katanya.

Shafie yang juga seorang peguam dan bekas calon PAS di Bangi pada PRU14 mendakwa, untuk mengaburi pengundi Melayu, bakal calon DAP turut mendekati pengundi sasaran di surau dan masjid.

Antara ahli yang hadir pada majlis pelancaran jentera PN di Bangi malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Oktober, 2022.

“Sebulan, dua, ini dia dah menjelajah ke seluruh surau dan masjid untuk agenda dan racun ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyeru pengundi supaya menolak DAP walaupun parti itu menampilkan calon Melayu.

“Dalam PRU15, DAP dan PH sedang cuba menipu pengundi terutamanya di Bangi. DAP ideologinya berteraskan fahaman kiri ini bukan kerangka penubuhan negara. Itu yang mereka bawa.

“Kali ini yang bekerja keras di Bangi kita lihat Syahredzan Johan, latar belakang keluarga tolak tepi. Kita kena nilai, ideologi di bawa dari mana,” katanya.

Syahredzan merupakan anak tokoh wartawan Johan Jaafar.

“Yang jelas ideologi (ahli DAP) baik Melayu, bukan Melayu sama. Jangan biarkan pengundi di Bangi tertipu semata-mata letakkan mukanya seperti masyarakat majoriti di dewan ini,” katanya.

Wan Saiful bagaimanapun menafikan kempen PN bersifat perkauman atau agama.

“Ini bukan isu perkauman, bukan isu menyempitkan agama tapi isu ideologi yang dibawa,” tambahnya.

Syahredzan jadi perhatian selepas penyandang kerusi Parlimen Bangi Ong Kian Ming pada Mei lepas mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang diwakilinya selama dua penggal sejak 2013, yang sebelum ini dikenali sebagai Serdang.

Ong kemudian mengumumkan Syahredzan sebagai wakilnya untuk membantu penduduk di kawasan Parlimen itu.

Ong menang Parlimen Serdang pada PRU13 dengan mendapat 79,238 undi atau lebih kurang 68% daripada keseluruhan undi.

Selepas persempadanan semula untuk PRU14, beliau menang pula kerusi Parlimen Bangi dengan meraih 102,557 undi atau kira-kira 65%.

Bagi PRU15 akan datang, Parlimen Bangi mempunyai bilangan pengundi lebih 300,000 termasuk penambahan lebih 100,000 pengundi berumur 18 tahun ke atas dan yang didaftarkan secara automatik.

Pengundi Melayu membentuk sekitar 51% manakala pengundi Cina sekitar 38%. Bakinya pula terdiri daripada pengundi India dan lain-lain. – 26 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen