Hamzah nafi perbincangan rasmi antara Perikatan dan GTA


Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata tiada perbincangan secara rasmi kerjasama dengan GTA bagi menghadapi PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2022.

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin berkata gabungan berkenaan belum mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Secara rasmi belum ada tetapi antara wakil-wakil mungkin ada, risik merisik itu biasa dalam politik buat masa ini. Pihak atasan belum buat keputusan sama ada perbincangan ini boleh dijalankan secara rasmi,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perbincangan antara PN dan GTA bagi menghadapi PRU15.

Beliau ditemui selepas hadir majlis pelancaran duit syiling peringatan sempena Ulang Tahun Jubli Emas Jabatan Sukarelawan (Rela) ke-50 di Putrajaya, semalam.

Pada Sabtu lepas Timbalan Pengerusi Penaja GTA Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan gabungan parti politik tertentu untuk melihat sama ada kerjasama boleh dilaksanakan ataupun tidak.

Mukhriz dilaporkan berkata pihaknya terbuka untuk bergabung sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan.

GTA merangkumi Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan penubuhan GTA yang dikatakan tidak diluluskan, Hamzah berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. – Bernama, 26 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen