SALAH satu keluhan utama di kalangan pengundi adalah kekurangan pemimpin muda. Malah, dalam kalangan parti pembangkang juga, ada ahli politik yang sudah berkecimpung sejak tahun 1980-an. Di manakah orang muda yang boleh membawa Malaysia ke hadapan?
Menjelang pilihan raya umum ke-14, The Malaysian Insight meneliti muka baharu dan juga ahli politik dari kalangan muda yang bakal diketengahkan oleh parti masing-masing sebagai calon.
Jamawi Jaafar mengakui bahawa beliau perlu membawa imej kampung untuk mendapat kepercayaan warga luar bandar, khususnya rakyat Tenom yang ingin diwakilinya sebagai ahli parlimen Umno.
Ketua Penerangan Pemuda Umno itu berkata imej berkenaan juga selaras dengan prinsipnya yang merendah diri dan mahu menjuarai isu masyarakat luar bandar.
“Saya tidak boleh menilai diri sendiri tapi masa saya bertanding naib ketua pemuda (Umno) dulu, kebanyakan bahagian yang mengundi saya adalah luar bandar.
“Dan mereka katakan imej saya itu imej kampung. Saya mudah berjumpa, mudah sambut telefon dan jumpa di warung,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
Anak jati Tenom berusia 39 tahun itu berkata imej berkenaan lebih mesra dan disenangi rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.
Beliau juga tidak menggemari protokol dan tidak suka dilihat sebagai orang yang berkuasa.
“Ada kawan-kawan dalam Umno, kalau hendak jumpa di hotel. Kalau saya di warung pun tidak apa. Jadi budak-budak muda kalau sembang sama saya memang tiada protokol.
“Tidaklah tunjuk (kita) pakai jam tangan mewah, kereta mahal tapi bagi saya imej lebih penting kita bawa (pemuda Umno) ke surau, boleh jadi imam malah selesaikan masalah masyarakat luar bandar.
“Jadi ini yang kita perlukan. Imej elite perlu tapi jangan semua macam itu,” kata Ketua Pemuda Umno Tenom itu.
Anak penoreh getah kagumi bapa, sanjung Najib
Graduan jurusan Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mula menyertai pemuda Umno pada 1994.
Beliau tidak dilahirkan dalam keluarga senang, anak penoreh getah ini tetap bersemangat untuk menjadi ahli politik dengan berbekalkan prinsip arwah bapanya, Jaafar Yusof.
“Arwah bapa saya mualaf dari bangsa Murut. Dia buta huruf dan hanya pandai mengira tetapi dia pandai bercakap dan boleh meyakinkan penduduk kampung untuk jadi ketua bahagian Usno ketika itu,” kata Jamawi.
Usno merupakan parti yang terkemuka dalam pentadbiran Sabah dan memainkan peranan utama dalam pentadbiran Borneo Utara, sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.
Kemelut politik Sabah pada 1975 seterusnya menyaksikan kemenangan parti Berjaya dalam pilihan raya negeri pada tahun berikutnya.
Namun arwah bapanya tetap dalam Usno walau menerima pelbagai tekanan untuk meninggalkan parti itu, sehinggalah Umno mula bertapak di negeri itu.

“Saya sertai pemuda Umno, masa mula-mula Umno bertapak di Sabah 21 Feb 1994. Jadi pada ketika itu, arwah bapa saya ketua bahagian Usno dan ia dibubarkan, semuanya masuk Umno.
Jamawi juga mengagumi Presiden Umno Najib Razak yang disifatkannya berjiwa kental dan kalis kutukan.
“Datuk Najib kita lihat bagaimana, pagi petang siang malam semua serang dia. Sampai ke isteri Datin Rosmah diserangnya. Tapi tetap istiqamah dan jumpa orang boleh senyum,” katanya lagi.
Pernah dapat tauliah jadi calon, ditukar saat akhir
Nama Jamawi kini disebut-sebut sebagai calon BN bagi kawasan Parlimen Tenom untuk pilihan raya ke-14.
Beliau juga pernah kecewa kerana tidak tercalon sebelum ini, namun beliau tetap juga membantu BN dalam kempen pilihan raya umum ke-14.
“Saya pada 2013 dapat tauliah calon, tapi minit terakhir tukar. Walaupun dalam keadaan kecewa melihat politik ketika itu tapi saya meneruskan kempen dan menolong calon ketika itu dan tidak sama sekali untuk mengkhianati.
“Saya teruskan adakan sesi perjumpaan dengan rakyat. Dan lama-lama orang akan lihat kita ikhlas dan betul-betul ada sikap perjuangan yang kuat walaupun tidak jadi calon ketika itu, tetapi tetap bantu kempen dan tetap sokong BN.
“Kalau tidak ada yang emosi akan lompat, tukar bebas. hentam kerajaan. Saya ini sudah ada peluang berkhidmat tapi dinafikan minit terakhir tapi saya anggap bukan rezeki,” katanya.
Tegasnya, kepimpinan BN perlu lebih teliti dalam mengenai ciri-ciri calon kerana individu yang setia kepada parti amat penting untuk memastikan kelangsungan kemenangan BN.
“Calon yang setia amat perlu dan kesetiaan dalam parti amat penting lagi-lagi di Sabah. Bacaan politiknya tidak dijangka,” katanya lagi.
Kerusi tersebut kini disandang Raime Unggi dari BN yang memenangi majoriti undi 3,889 dalam pertandingan lima penjuru pada PRU lalu.
Raime yang juga ketua bahagian Umno Tenom telah memegang kawasan kubu kuat BN itu tiga penggal berturut-turut sejak 2004.
Menurutnya, pembangunan yang rancak di kawasan itu memberi kelebihan kepada BN dan membolehkannya dianggap sebagai kawasan selamat.
“Tenom kawasan selamat dan kawasan putih kerana banyak pembangunan kita terima. Sekolah baru dan bangunan sekolah daif dan jalan-jalan tanah merah dinaiktaraf. Keperluan kita merupakan pertanian.
“Pada bajet tahun ini penanam padi dapat bantuan RM200 sebulan. Semua ini menyakinkan masyarakat bahawa inilah kepimpinan yang memahami masalah rakyat.
“Jadi kita yakin kawasan luar bandar atau di mana sahaja di Sabah akan terus menjadi simpanan tetap BN,” katanya yang turut mengusahakan tiga restoran makanan di Tenom. – 3 Mac, 2018.
Komen