MIC sedia tukar kerusi jika parti lain boleh menang, kata timbalan presiden


Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, konsep BN adalah berbincang dan membuat keputusan secara berhemah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2022.

MIC sedia bertukar kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain memiliki peluang lebih cerah untuk menang di kerusi terbabit.

Timbalan presidennya M Saravanan berkata langkah itu, untuk kebaikan bersama gabungan itu dan bagi membuktikan sifat positif yang diamalkan antara parti komponen BN.

“Konsep BN adalah kami berbincang dan membuat keputusan secara berhemah.

“BN selalu positif. Walaupun kami pernah kalah, kami masih bersama. Ada parti tidak sampai dua tahun bersama pun sekarang sudah berpecah lima,” katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Deepavali di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Presiden MIC S A Vigneswaran akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi dalam PRU15, berserta calon yang akan mewakili mereka dalam masa terdekat.

“Kami sudah mengenal pasti kerusi sedia ada dan sedang berbincang sekiranya ada ruang untuk menambah kerusi. Tan Sri akan membuat pengumuman dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, MIC dilaporkan bercadang untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15 yang mana hari pengundiannya ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 19 November.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang). – Bernama, 24 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen