Orang Asli Kuala Koh tagih bantuan bekalan air bersih


Diyana Ibrahim

Selain isu air tercemar yang Orang Asli Kuala Koh percaya penyebab kematian 15 nyawa, banyak lagi isu mereka yang tidak diselesaikan kerajaan PAS Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2022

WABAK demam campak yang melanda penduduk Orang Asli Kuala Koh di Gua Musang sudah tiga tahun berlalu namun kejadian yang membunuh 15 nyawa itu masih lagi menghantui penduduk terlibat.

Sehingga ke hari ini mereka enggan percaya kematian itu berpunca akibat jangkitan demam campak, kata penduduk Orang Asli dari suku Batek kepada The Malaysian Insight.

Sebaliknya mereka percaya ia ada kaitan dengan air sungai yang tercemar kerana kegiatan pelombongan, ketika mereka sudah bertahun-tahun menagih bekalan air bersih.

Seorang penduduk, Aziz Ahmad mendakwa sehingga sekarang tiada usaha daripada kerajaan pusat atau kerajaan negeri mahu membantu mereka – dan perkara itu sangat mengecewakan.

“Ketika ini bekalan air bersih kami hanya bergantung daripada air boring (air bawah tanah). Ini pun yang buat NGO (badan bukan kerajaan), bukan kerajaan.

“Dalam tahun ini kami dapat air dari boring jadi bolehlah guna untuk memasak, buat untuk minum,” kata pemuda berumur 32 tahun itu.

Aziz berkata mereka juga mendapatkan sumber air daripada parit dekat ladang kepala sawit, kira-kira setengah kilometer dari rumah, untuk mandi dan membasuh baju.

Katanya lagi, keperluan mendapatkan bekalan air begitu mendesak tambahan pula kini anak- anak mereka sudah boleh bersekolah di kampung sendiri.

“Sekolah untuk komuniti baru dibina tahun ini. Jadi kalau sebelum ini anak-anak akan pergi belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi dan duduk di asrama. Apabiila sekolah siap, tak perlu lagi mereka keluar jauh.

“Cuma masalahnya tak ada air, susahlah mereka nak bersiap ke sekolah padahal mereka begitu bersemangat untuk ke sekolah,” katanya.

Orang Asli suku kaum Batek yang asalnya dari Taman Negara Kuala Koh dahulunya hidup berpindah randah atau nomad.

Pada 2008, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membuka penempatan baharu bagi mereka di Kuala Koh.

Pada 2019, mereka diserang wabak demam campak sehingga menyebabkan lebih kurang 100 orang dirawat di Hospital Gua Musang dan 15 orang meninggal dunia.

“Kerajaan PAS tidak peduli Orang Asli”

Kehidupan mereka juga tidak mudah memandangkan Kelantan bawah pemerintahan PAS tidak mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli.

Mereka juga diancam penerokaan hutan yang ditukar menjadi ladang kelapa sawit serta aktiviti perlombongan.

Aziz berkata keadaan itu menyebabkan ada antara mereka tidak lagi dapat bergantung pendapatan dengan mencari hasil hutan.

“Biasanya sekarang, ada yang bekerja di ladang kelapa sawit atau sebagai renjer di Taman Negara.

“Kalau dulu seratus peratus pekerjaan orang Asli bergantung dengan hasil hutan, biasanya kita akan masuk di Taman Negara, tapi sekarang tak ada lah, sebab tak ada hasil di sana” katanya.

Aziz berkata bagi yang bergantung pendapatan dengan hasil hutan, mereka kini terpaksa meredah ke Taman Negeri Tasik Kenyir, yang menempuh perjalanan selama setengah jam.

“Kalau hasil hutan ini tengoklah apa yang kita dapat, biasanya kita cari kacip fatimah, rotan tapi rotan ini pun susah nak dapat sekarang.

“Ataupun kita cari batu damar yang biasa digunakan oleh nelayan sebagai gam tampal perahu. Kalau ada nasib kita boleh dapat kayu gaharu, boleh buat minyak wangi,” katanya.

Hasil daripada kayu gaharu boleh memberi keuntungan lumayan kepada mereka namun bukan senang untuk mendapatkannya, tambah Aziz.

Mereka malah bersaing dengan pemburu haram Thailand, Kemboja, dan Vietnam, katanya.

“Kayu ini kalau untuk gred A biasanya boleh cecah RM230,000 bagi satu gram sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan kerajaan negeri, beliau mendakwa kerajaan pimpinan PAS tidak pernah mengambil cakna kebajikan mereka.

Mereka malah lebih percaya kepada aktivis yang sejak yang dahulu tidak pernah putus-putus membantu.

“Jakoa ada juga beri bantuan tapi tak sekerap NGO. Bermusimlah, masa pilihan raya umum ini akan banyaklah.

“Biasanya Jakoa bila kita nak minta apa-apa seperti contoh bekalan air mereka akan suruh kita tulis surat. Jadi susah untuk kita sebab mereka langsung tak memudah cara membantu kami,” katanya.

Bergelut kos sara hidup

Menurut Aziz lagi, masyarakat Orang Asli juga terbeban dengan kenaikan harga barang.

Katanya, peruntukan perbelanjaan dapur mereka meningkat sebanyak RM250 berbanding RM80 sebelum ini.

“Memang ketara sangat harga barang ini, macam beras, minyak, telur sangat mahal sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, tok batin Muhamad Pokok, 42, berkata kampung Orang Asli Kuala Koh ini didiami 32 keluarga atau hampir 400 penduduk.

Beliau senada berkata penduduk sangat memerlukan bekalan air air bersih.

“Sekarang kampung ini baru dapat bekalan elektrik, 11 tahun selepas rumah batu ini siap dibina. Sebab masa rumah batu ini dibina Jakoa letak sekali dengan kipas, lampu tapi bekalan elektrik tidak ada,” katanya.

Muhamad berkata penduduk juga sebenarnya memerlukan lagi 37 buah perumahan berbanding sekarang hanya ada 12 buah rumah.

Ditanya tentang ancaman daripada binatang buas atau haiwan liar seperti gajah, katanya ia hanya berlaku di kawasan kebun dan tidak pernah  memasuki kediaman penduduk.

Namun katanya penduduk masih bimbang tentang bencana banjir yang berlaku masa tengkujuh.

“Biasanya bila banjir kita susah, paling teruk masa 2014  memang rumah kita semua tenggelam.

“Kalau yang banjir setiap tahun air tak naik di kawasan kampung cuma di kawasan bawah sahaja, tapi kita akan terperangkap juga,” katanya. – 26 Oktober, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen