Tiada ‘khemah besar’ pembangkang menjelang PRU15, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Penganalisis Politik berpendapat walaupun masih ada masa untuk berbincang, namun pemimpin pembangkang mungkin sukar untuk mencari titik persamaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2022.

SIKAP saling tidak percaya di kalangan pelbagai pakatan politik menjadi punca utama mengapa idea penyatuan pembangkang untuk menentang Umno-Barisan Nasional tidak mungkin berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata beberapa penganalisis politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, walaupun masih ada masa untuk berbincang, namun pemimpin pembangkang mungkin sukar untuk mencari titik persamaan.

Ini kerana, kata mereka Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini tidak begitu berminat untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad bagi menghadapi PRU15 yang dijadualkan pada 19 November.

Mereka menambah, PH mesti mendahului dalam memulakan sebarang rundingan tetapi seperti apa yang berlaku, mereka tidak bertentang mata dengan kedua-dua gabungan GTA dan Perikatan Nasional.

Felo Kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan berkata beliau tidak nampak bagaimana tiga pakatan pembangkang – PH, PN dan GTA – boleh duduk dan berbincang bersama-sama dalam pilihan raya.

Beliau bagaimanapun menambah, sekiranya sebarang kemungkinan rundingan berlaku, langkah pertama mesti dimulakan PH kerana ia merupakan gabungan pembangkang terkuat berbanding PN dan GTA.

“PH tidak mahu GTA kerana mereka tidak nampak bagaimana ia boleh membawa apa-apa faedah, PN dan PH mempunyai sejarah tersendiri ditambah pula DAP dan PAS tidak boleh bertentang mata.

“Saya tidak nampak bagaimana rundingan boleh berlaku, saya rasa status itu quo akan kekal sehingga hari penamaan calon. Saya tidak nampak bagaimana PN dan PH boleh memberi dan menerima, memandangkan ego yang ada pada ahli politik ini.

“Tetapi jika sebarang perbincangan mesti berlaku, PH mesti mengambil langkah pertama kerana mereka adalah yang terkuat. Ia tidak boleh berlaku jika PN atau GTA membuat langkah pertama,” katanya.

Beliau mengingatkan parti politik sekiranya rundingan hanya berlaku selepas pilihan raya, kestabilan politik negara mungkin kembali tidak menentu.

“Kita mahu rundingan berlaku sekarang iaitu sebelum PRU. Selepas pilihan raya akan berlaku huru-hara lagi,” katanya.

PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Upko yang berpangkalan di Sabah. PN pula terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan parti dari Sabah, Star serta SAPP.

Sementara itu, GTA diketuai Pengerusi Pejuang Dr Mahathir bersama segelintir parti kecil berasaskan Melayu.

Isu mengenai calon PM

Ahli akademik, Dr Mazlan Ali sementara itu berkata rundingan mungkin berlaku antara PN dan GTA, berdasarkan hubungan sebelum ini antara Dr Mahathir dan Bersatu.

Sekiranya rundingan hanya berlaku selepas pilihan raya, kestabilan politik negara mungkin kembali tidak menentu, kata Felo Kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2022.

Tambahnya, kedua-dua gabungan itu berkongsi pandangan yang hampir serupa berhubung isu rasuah dan hak Melayu.

“Untuk bekerja dengan PH adalah lebih sukar. Peluang lebih baik untuk GTA dan PN bekerjasama jika mereka merasakan boleh mencari titik persamaan.

“Masalahnya PH tidak mempercayai Dr Mahathir selepas apa yang beliau lakukan terhadap Anwar.

“Tetapi jika semua parti pembangkang duduk berbincang, batu penghalangnya ialah siapa yang patut menjadi calon PM mereka.

“Anwar mahukannya, Dr Mahathir menawarkan dirinya sekali lagi dan sudah tentu pengerusi PN Muhyiddin Yassin juga mesti mengintai jawatan itu. Itulah realitinya,” katanya.

Bagi profesor sains politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pembangkang tidak mempunyai masa untuk mengadakan rundingan dan perbincangan.

Beliau menambah cara terbaik untuk pembangkang ialah mengadakan pakatan pilihan raya, seperti yang sedang diusahakan PH dan Muda.

“Masa semakin suntuk dan saya berpendapat mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbincang kerana ini memerlukan masa dan mereka perlu menganalisis setiap langkah. Ia mungkin mengambil masa.

“Mungkin mereka boleh bersetuju dengan pakatan pilihan raya supaya mereka tidak bertelagah antara satu sama lain. Jika undi pembangkang berpecah, BN pasti menang dalam pilihan raya,” katanya.

Fauzi turut sependapat dengan Azmi, jika perbincangan dilakukan selepas pilihan raya, ketidakstabilan politik boleh terus menjadi isu.

“BN akan menuduh kerajaan sebagai kerajaan tidak stabil. Ketidakpastian akan berlaku lagi dan rakyat terpaksa menanggung beban itu,” jelasnya. – 24 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen