Ada peniaga peniaga sorok barang untuk PRU15, kata Annuar


Annuar menggesa peniaga supaya tidak menaikkan harga barang susulan PRU15 dan musim tengkujuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2022.

PASUKAN Jihad Tangani Inflasi menerima aduan ada peniaga mengambil kesempatan menyimpan bekalan bagi meraih keuntungan berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Satu mesyuarat akan diadakan Selasa ini bagi mendengar maklum balas daripada pihak penguatkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Saya mengingatkan sama ada pihak pemborong, pengedar atau peniaga supaya tidak membuat tindakan menyimpan barang semata-mata untuk meraih keuntungan berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 212 keluarga di Parlimen Ketereh yang kediaman mereka rosak akibat ribut baru-baru ini di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata semua pihak diminta tidak menyimpan barang kerana tindakan itu boleh membebankan rakyat setelah barang berkurangan dan harga pula meningkat.

“Tindakan sedemikian adalah tidak baik kerana bukan sahaja susahkan orang ramai…tindakan mengambil keuntungan berlebihan juga bukan sifat yang mulia,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu turut menggesa peniaga supaya tidak menaikkan harga barang susulan PRU15 dan musim tengkujuh.

“Selain faktor PRU15 ada kemungkinan peniaga menyimpan barang sempena musim tengkujuh dan sekiranya mereka menyimpan barang kawalan ia menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut akta tertentu,” katanya. – Bernama, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen