Kenapa kempen Umno tidak beria tolak rasuah dan perasuah?


Faisal Tehrani

Bilakah Umno akan beria menunjukkan yang mereka akan menolak rasuah dan korupsi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2022.

ENTAHLAH, bagaimana Pak Teh nak mengundikan Umno ketika 19 November nanti. Belum ada tanda nampaknya dalam kalangan Umno berkempen beria-ia menolak rasuah, perasuah dan bercita-cita menginginkan negara yang bersih. 

Setakat yang Pak Teh mendengar daripada mulut orang-orang kempen yang datang ke surau, ke balai raya, dan ke kedai makan minum di sekitar Taiping; mereka tidak pun bercakap pasal rasuah.

Mereka datang sedekahkan beras. Memang Pak Teh ambil. Sebab semua parti pun beri beras. Dan Pak Teh rasa memang ada taikun beras yang beri kepada semua parti baik Umno, PAS, atau Bersatu. 

Agaknya mereka menulis surat kepada taikun itu. Dan taikun itu pun memang berilah. Sebab nanti kalau siapa-siapa jadi kerajaan pun sedap pula Taikun itu mengingatkan apa yang telah diberi dulu. 

Jadi Pak Teh anggap itu ‘sedekah’ daripada taikun beras di ibu kota, bukan sangat daripada parti. Pak Teh bukanlah bodoh sangat.

Akan tetapi gaya masing-masing yang tidak menolak rasuah, perasuah dan tiada cita-cita untuk membersihkan negara dari penyamun dan penyangak sedikit sebanyak menjengkelkan Pak Teh. 

Memanglah Pak Teh tak terkesan sangat dengan rasuah. Ada sekali agaknya Pak Teh beri rasuah, mungkin bukan rasuah, anggaplah pemberian. Itu pun masa muda-muda dulu. Masa belum ada Lebuhraya Utara Selatan. Ada pihak beruniform menghendap celah belukar di tepi jalan menghentikan kereta Pak Teh. Alasannya Pak Teh memandu laju. Jadi Pak Teh beri dia dua puluh ringgit. Untuk anak dia. 

Masa dulu-dulu masa zaman belum inflasi dua puluh ringgit memang macam-macam boleh buat. Hari ini dua puluh ringgit beri kepada budak waktu Hari Raya, mereka tinggal-tinggalkan waktu bermain dan tak ingat pun sudahnya.

Sebenarnya Pak Teh mengikuti kempen semua parti bertanding, memang belum ada penceramah dan perayu undi Umno yang kedengaran beria menolak rasuah, dan perasuah. Malah mereka macam suka negara ditadbir dan dipimpin penyamun dan penyangak. Bahkan sedap-sedap saja mereka nafi dan mengilas yang itu semua fitnah. 

Kalau itu semua fitnah mengapa duit dua puluh ringgit itu sudah tiada nilai sangat? 

Itu semua ekor-ekor gejala rasuahlah. Kalau kita jarang atau ada segan malu hendak mengutuk atau mencacikan pasal sesuatu yang hodoh tentu kita sendiri gamaknya biasa dengan benda-benda begitu. Kaki zina tak adalah nak menyeru supaya bencikan zina. Begitulah fikir Pak Teh. 

Waktu perayu undi itu datang kepada Pak Teh yang sedang asyik merokok di Nasi Kandar Ali di stesen keretapi Taiping, perayu undi perempuan itu gamaknya berusia sekitar 20an. Mungkin budak belum lut universiti lagi. Belum habis. Dia beritahu Pak Teh yang dia ‘Puteri’. Apa ‘Puteri’ lagi, agaknya ‘Puteri’ Umno lah. Agaknya.

Oleh sebab Pak Teh tidak ada apa-apa hendak buat sementara menanti Mak Teh keluar komuter yang datang dari jurus Ipoh, Pak Teh pun layan. Budak Umno itu antara lain mengatakan DAP parti Cina. DAP parti kominis. DAP parti liberal. Amanah hamba DAP. Calar Maruah Negara dan macam-macam lagi. 

Sekali fikir macam lebih-lebih pula. Pak Teh pantang orang berlebih-lebih. Itu tanda ekstrem. Dan kempen buruk serta menfitnah orang ini berlebih-lebih gayanya. Macam meluat dan rasa retis pula. Sebab kalau DAP parti komunis, mengapa sejak tahun 1960an lagi DAP tetap dibenarkan beroperasi dan bertanding Pilihan Raya. Kenapa tidak diharamkan sahaja. 

Bila Pak Teh tanya begitu kepada budak perayu undi yang gamaknya Umno itu dia tidak dapat menjawab. Dia meroyan bukan-bukan.

Bila tiba giliran Pak Teh bercakap, bersahaja Pak Teh pun bertanya; ‘Mengapa parti kamu tak kedengaran pun bercakap pasal rasuah? Saya ini selalu pergi umrah, takkan saya nak diamkan orang ambil rasuah, beri rasuah dan pemimpin yang suka rasuah? Padahal depan kaabah saya beritahu Allah hendak lawan kemungkaran. Takkan saya nak biarkan awak diam tak merungut pun pasal rasuah? Awak ini anak muda yang tahu macam-macam dan sepatutnya nasihatkan saya yang dah tua.’

Budak itu muka merah padam dan membentak-bentak. Akhir sekali budak itu mengalah, dia kata; ‘Tak apa rasuah, jangan komunis sudah.’

Itu yang Pak Teh hairankan mengapa ada parti tidak betul-betul hendak melawan rasuah, melainkan parti itu memang suka dengan rasuah. Pak Teh hairan bila dalam kempen ada orang sibuk memburukkan calon. Seperti budak muda itu. 

Bila ditanya mengapa tidak berkempen menolak rasuah, budak muda itu bukan main marah-marah. Seolah-olah rasuah itu perkara mulia yang perlu dipertahankan. Apa nama gila begini?

Memang Pak Teh biasa mengundi Umno dulu-dulu. Tetapi Umno dulu-dulu tidak terpalit sangat dengan rasuah. Malah Tun Razak dulu memang terkenal tak suka rasuah. Hari ini sudah terbalik. 

Lepas Pak Teh lihatkan Umno banyak terlibat politik wang, Pak Teh berpaling mengundi PAS dengan harapan PAS akan menolak rasuah. Akan tetapi bila PAS pun sama mendirikan kerajaan dengan parti mempertahankan perasuah setelah Langkah Sheraton. Pak Teh jadi pening. Pak Teh menyampah. Pak Teh anti parti-parti yang tidak beria tolak rasuah.

Sebab dalam sejarah Nabi-nabi, umat yang berjaya ialah umat yang menolak rasuah. Malah Nabi-nabi itu dihantar Tuhan kepada umat kerana mereka itu sudah korup, baik dari segi moral mahupun materi.

Tak susah Pak Teh nak buat pilihan di peti undi. Mana-mana parti yang tidak beria-ia menolak rasuah, perasuah dan tidak bersungguh-sungguh menginginkan negara yang bersih itulah parti yang mesti ditolak. 

Pak Teh akan pangkah parti yang memang bertekad menolak rasuah dan perasuah bila dia turun 19 November kelak. – 23 Oktober, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen