Isu tanah Kampong Bharu paling sensasi di kerusi Titiwangsa


Mohd Farhan Darwis

Dua perkara utama yang menjadi perhatian melibatkan rancangan membangunkan Kampong Bharu dan juga kontroversi berkaitan pembangunan Kampung Sungai Baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2022.

MASALAH pengambilan tanah penduduk di penempatan Melayu tradisi Kampong Bharu dijangka menjadi isu paling sensasi dalam kawasan Parlimen Titiwangsa, kata penduduk.

Wakil penduduk memberitahu The Malaysian Insight, banyak wakil parti politik tampil dan dilihat mahu menjuarai dan membela mereka sejak isu tersebut menjadi perhatian umum.

Dua perkara utama yang menjadi perhatian melibatkan rancangan membangunkan Kampong Bharu itu dan juga kontroversi berkaitan pembangunan Kampung Sungai Baru.

Naib Ketua Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru, Saiful Azhar Ibrahim melihat tumpuan ke kawasan itu satu perkembangan baik walau belum dapat melihat apa-apa tawaran konkrit.

“Sekarang banyak parti politik mahu ukir nama. Kami terima sahaja, tiada masalah pun. Ada dua, tiga parti politik yang sudah menyuarakan pendapat mereka dan ada juga yang datang ke sini.

“Buat masa ini tiada lagi yang berjanji apa-apa, setakat suarakan pendapat mereka pengambilan ini tak wajar, pampasan sangat rendah, dan sebagainya tetapi belum ada yang berjanji apa-apa.”

Saiful Azhar, 50 menjangka isu pengusiran pemilik tanah akan menjadi isu utama kempen PRU15 dan berharap calon parti membuka mata dan menawarkan penyelesaian dalam isu tersebut.

“Mungkin isu ini akan jadi penentu untuk PRU15, jawatankuasa bertindak ini wujud sudah hampir setahun dalam tempoh itu isu ini menjadi isu hangat di media sosial dan laporan berita.

“Isu ini akan jadi sensasi. Kebetulan nak (PRU), suruh kami keluar sekarang (dengan) pampasan rendah, penempatan baharu pula tidak jelas bagaimana,” katanya.

Jelas Saiful Azhar, isu penempatan gantian kini menekan penduduk yang kebanyakannya dari golongan berpendapatan rendah selepas pemaju berjaya mengambil alih tanah dengan harga murah.

“Ada penduduk yang berniaga, ada yang tak bekerja ditambah lagi anak pula bersekolah di kawasan sini. Banyak parti politik (nak membantu) perlu lebih menjurus kepada hal itu.

“Bukan lagi kepada pampasan. Ke mana penduduk Kampung Sungai Baru khususnya mereka di kawasan rumah pangsa dan teres nak pergi selepas ini?

“Kerajaan yang menang nanti kena tolonglah. Dapatkan rumah yang sesuai bagi kami sama ada rumah (DBKL) atau rumah Projek Pembangunan Rakyat (PPR),” katanya.

Peniaga pakaian terpakai itu adalah antara 37 pemilik rumah teres yang menerima RM500 bagi setiap kaki persegi sebagai pampasan untuk pembangunan Kampung Sungai Baru.

Jumlah itu jauh lebih rendah dan tidak memadai untuk kediaman teres satu tingkat setengah bersaiz 1,600 kaki persegi seperti yang didiami Saiful selama ini.

Sedangkan penduduk mengharapkan anggaran pampasan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 untuk setiap kaki persegi seperti dimaklumkan penilai swasta.

Katanya, penduduk di lapan blok rumah pangsa menempatkan 264 unit itu terpaksa menerima kadar tersebut namun akan membawa perkara itu ke mahkamah bagi menuntut pampasan lebih tinggi.

Penghuni diberi peluang berpindah sebelum tarikh akhir pada hujung Oktober selepas bangunan di atas tanah berkeluasan 3.5 ekar itu diambil alih pemaju.

Seorang pemilik rumah, Anuar Ahmad, 60 mengharapkan masa tambahan diberi sehingga Disember memandangkan beliau belum belum menemui kediaman sesuai.

Beliau akan mengambil peluang sewaktu kempen PRU15 untuk menuntut rumah gantian daripada calon serta parti politik yang bertanding.

Jelasnya, pampasan yang diperolehi dari rumahnya yang bakal diranapkan itu tidak memadai untuk membolehkan beliau membeli rumah baharu di Kuala Lumpur.

“Ramai orang politik masuk sini sekarang. Jadi penduduk nak minta rumah ganti disebabkan pampasan yang diberi tak dapat membeli seunit rumah pun. (Beli) rumah PPR pun tak lepas.

Katanya Menteri Wilayah Persekutuan sementara Shahidan Kasim sebelum ini sudah pun berjanji untuk mendapatkan rumah sementara di Segambut, rumah PPR atau rumah bawah seliaan DBKL.

“Tapi buat masa sekarang (urusannya) belum selesai, sebab itu kita minta tangguh lagi,” kata Anuar yang tidak lagi bekerja.

Menurutnya, kurang daripada 20 pemilik belum berpindah dari kawasan tersebut walaupun notis sudah dikeluarkan.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang bertanggungjawab menyelenggara pangsapuri tersebut mengeluarkan pekeliling akan menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa 31 Oktober.

Notis bertarikh 20 September itu dikeluarkan kerana PKNS perlu menanggung kerugian disebabkan kebanyakan penghuni sudahpun mengosongkan kawasan pangsapuri berkenaan.

Kampung Sungai Baru merupakan salah satu daripada tujuh kampung dalam Kampong Bharu yang kini dalam rancangan utama untuk pembangunan Kuala Lumpur.

Ia terletak di dalam Parlimen Titiwangsa, kawasan petempatan majoriti Melayu di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur dan menjadi rebutan parti politik waktu ini,

Amanah yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dilapor akan meletakkan bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk bertanding di kerusi itu.

Umno dan Barisan Nasional (BN) pula dijangka akan menampilkan kembali bekas ahli Parlimen Titiwangsa yang juga bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani di kawasan itu.

Di peringkat Perikatan Nasional (PN) pula, Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dijangka menggantikan Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun.

Isu penempatan gantian kini menekan penduduk Kampong Bharu yang kebanyakannya dari golongan berpendapatan rendah selepas pemaju berjaya mengambil alih tanah dengan harga murah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2022.

Penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa itu disebut-sebut  akan berpindah kawasan lain.

Selain Khalid, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil juga dilihat sering meninjau kawasan tersebut sebelum ini.

“Johari kita belum nampak lagi,” kata Saiful Azhar.

Badan penduduk seperti Persatuan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampong Bharu (Pewaris) pula berpendapat parti politik tidak boleh diharapkan untuk membangunkan kawasan Kampong Bharu.

Setiausahanya Zainuddin Ismail pula melihat tanpa penglibatan watak politik sekali pun rancangan pembangunan Kampung Baru yang diusahakannya akan diteruskan.

Beliau bagaimanapun menghargai usaha bekas menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa kerana membangunkan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru.

Rancangan yang kini digunakan sebagai panduan program pembangunan tanah kawasan tersebut menurutnya lebih baik berbanding rancangan dikemukakan menteri bawah Pakatan Harapan (PH).

Annuar mengambil alih jawatan itu dari Khalid Samad selepas pentadbiran PH tumbang pada 2020 dan digantikan kerajaan pimpinan PN.

Khalid ketika pentadbirannya mencadangkan idea membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga RM1,000 sekaki persegi yang ditolak oleh badan seperti Pewaris.

“(Annuar) bagus, dia buat Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru, pecah-pecahkan (kawasan) menjadi kelompok kecil kepada blok, dengan keluasan antara dua hingga tiga ekar setiap blok.

“Jadi senang kita nak buat kerja, itu yang kita nak. Khalid hanya mahu beli tanah,” katanya.

Idea Annuar itu kemudiannya diteruskan Shahidan yang menjadi menteri Wilayah Persekutuan sewaktu pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Ia turut disokong Pewaris yang meneruskan aktiviti bagi membangunkan Kampong Bharu mengikut pelan tersebut.

“Aktiviti kami berjalan, kita tak tunggu sesiapa pun. Kita bergerak, ada arkitek, pasukan teknikal ada, cuma sekarang kita cari sumber kewangan, siapa nak bagi, kemudian kita bergerak.

“Jadi kami gunakan model Annuar, sekarang seluruh blok tubuh jawatankuasa masing-masing kalau ada pemaju nak masuk, kita bergerak sama-sama.

“Kalau pemaju nak cari makan lebih daripada kita, kita bantai. Penduduk setuju dengan konsep ini,” kata Zainuddin.

Sebagai permulaan, Zainuddin berkata pihaknya akan membangunkan tiga blok secara serentak yang mengandungi pembangunan bercampur antara perumahan dan komersial.

“Bila kita nak buat projek contoh, tiga sekali jalan dan kalau berjalan ini akan jadi ikutan kepada yang lain. Projek ini pembangunan bercampur, dah ada dalam master plan Annuar, kita ikut perancangan itu sahajalah,” katanya.

Setakat ini juga, sebanyak 15 daripada 38 blok sudah bersetuju kawasan mereka dibangunkan dengan kaedah tersebut, katanya.

“Nasib baik ada Annuar. Dia memang perancang bandar. Kalau tidak, mati kita. (Harapkan) Khalid hanya tahu nak beli sahaja, siapa nak jual?

“Tapi Annuar siapkan (perancangan pembangunan) blok, (kita perlu) cari duit sendiri, usaha sendiri, kalau tak mampu (baru akan) cari pemaju luar,” katanya. – 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen