SPR digesa umum SOP banjir segera


Ravin Palanisamy

SIKAP berdiam diri Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang masih belum mengeluarkan sebarang pelan mitigasi banjir meskipun tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah diumumkan dikritik oleh pihak berkepentingan.

Menurut mereka kekurangan pelan mitigasi dan kontigensi membahayakan sekiranya banjir berlaku sekali gus menjejaskan pengendalian pilihan raya dengan telus.

“Isu ini masih belum selesai (pelan mitigasi dan kontigensi) tapi mereka (SPR) sudah umum tarikh pilihan raya.

“Saya tidak fikir SPR mempunyai jawapan perkara ini, jika tidak mereka sudah pasti menyediakan SOP dan pelan kontingensi sekarang kerana ia memberi kesan kepada seluruh negara,” kata penyandang Parlimen Klang Charles Santiago di mana kawasannya terjejas teruk akibat banjir sebelum ini.

Santiago mendakwa SPR membahayakan seluruh negara dengan sikap tidak peduli serta berdiam diri terhadap perkara yang sangat penting itu.

Sebelum ini SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.

Pahang, Perlis dan Perak akan turut mengadakan pilihan raya negeri pada tarikh sama.

Hari penamaan dan pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Sabah juga berjalan serentak dengan PRU15.

Pilihan raya kali ini dijadualkan berlangsung pada musim tengkujuh yang menerima kritikan pelbagai pihak.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran monsun pada pertengahan November depan.

Mengambil kira kemungkinan berlaku banjir, Santiago mempertikaikan soal kaedah digunakan SPR untuk menentukan kemenangan PRU15 sekiranya ada negeri yang tidak dapat mengundi kerana bencana.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kita mungkin berdepan situasi di mana sebahagian Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan banjir.

“Kemudian jika laluan ke pusat undi atau jalan ke negeri lain seperti Terengganu atau Kelantan banjir yang jelas menghalang rakyat membuang undi, ini satu kerugian.

“Jadi bagaimana SPR nak tentukan siapa menang, siapa kalah?” katanya yang juga menuntut penjelasan SPR tentang penggunaan sekolah-sekolah sebagai pusat undi yang mungkin bakal dijadikan pusat penempatan jika berlaku banjir.

Sementara Pengerusi BersihThomas Fann menggesa SPR dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengeluarkan pelan kontigensi bagi senario berbeza yang mungkin berlaku pada hari pengundian.

Katanya mereka perlu mengumumkan langkah dan tindakan terhadap isu tersebut kepada orang awam.

“(Akan ada) tambahan waktu mengundikah? Bantuan pengangkutan seperti bot? Mengundi mudah alih di pusat pemindahan banjir? Penangguhan pilihan raya bagi kawasan terjejas? Penangguhan PRU15?

“Jika banjir berlaku mangsa akan dipindahkan ke pusat pemindahan, SPR patut pertimbang untuk wujudkan unit undian mudah alih di pusat-pusat ini atau tangguhkan hari mengundi,” katanya.

Beliau mendakwa orang ramai tidak sepatutnya dihalang untuk mengundi walaupun pada hari pengundian hujan turun.

“Pilihan raya ini terlalu penting untuk mereka tak buat apa-apa tapi jika kawasan mereka banjir, mereka sepatutnya boleh dengar sebarang pengumuman di TV atau radio terhadap pelan yang SPR atau kerajaan buat,” katanya.

Tahun lepas, lapan daripada 11 negeri di Semenanjung Malaysia dilanda banjir pada Disember susulan hujan lebat. – 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen