Anwar tanding di Tambun tidak gegarkan PN, kata Hamzah


Kata Hamzah, Anwar sentiasa melaungkan keyakinan melalui pengaruh dibawa namun hingga kini tiada sebarang perubahan berlaku dalam landskap politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2022.

KEPUTUSAN Presiden PKR Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum cukup untuk menggegarkan Perikatan Nasional (PN) khususnya di Perak.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata umum mengetahui Anwar sentiasa melaungkan keyakinan melalui pengaruh dibawa namun hingga kini tiada sebarang perubahan yang berlaku membabitkan landskap politik negara.

“Itu (keputusan) dia umumkan (bertanding di Tambun), sama ada betul atau pun tidak, kita tunggu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Himpunan PN Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan Selama di Larut, hari ini.

Keputusan Anwar untuk bertanding di Parlimen Tambun menyaksikan beliau dijangka bakal bertembung dengan Timbalan Presiden Bersatu yang merupakan penyandang kerusi berkenaan Ahmad Faizal Azumu.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

Mengulas lanjut Hamzah mendakwa sokongan rakyat terhadap PN di Perak adalah baik dan mampu memenangi lebih banyak kerusi terutama di bahagian utara Perak. – Bernama, 22 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen