Mustapa, Ikmal tanding dengan lambang bulan


Mustapa Mohamed dari Bersatu menang kerusi Parlimen Jeli atas tiket BN pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2022.

MUSTAPA Mohamed dari Bersatu akan mempertahankan kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang dengan menggunakan logo PAS, mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu disahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dalam program Himpunan Penyatuan Ummah sempena sambutan 32 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Laporan Sinar Harian menyebut, Ikhmal Hisham Abdul Aziz yang akan mempertahankan kerusi Tanah Merah juga akan menggunakan lambang PAS.

“Kita ada calon Bersatu, Mustapa Mohamed dan Ikmal Hisham Abdul Aziz, kita bagi kalau nak pakai logo PAS, boleh pakai, asal menang.

“Jangan pula tak pangkah dia, hal ini bagi menjamin kemenangan PN di Kelantan,” kata Muhyiddin seperti dilaporkan portal itu.

Presiden Bersatu itu berkata keputusan berkenaan disepakati dalam mesyuarat baru-baru ini.

Mustapa menang kerusi Parlimen Jeli atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi bertindak keluar daripada Umno yang disertainya sejak lebih 49 tahun sebelum menyertai Bersatu pada 2018.

Manakala Ikhmal Hisham turut bertindak menyertai Bersatu pada 2018 selepas menjadi wakil rakyat Umno selama dua penggal.

Beliau menang kerusi Parlimen Tanah Merah pada PRU14 atas tiket BN.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini dilapor berkata calon PN di tiga negeri dikuasai PAS, iaitu Kelantan, Terengganu, dan Kedah akan bertanding menggunakan logo PAS. 

Sementara calon PN di negeri lain difahamkan akan menggunakan logo gabungan itu kecuali Sabah, yang mana calon mereka akan menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – 22 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen